Oleh: Batrisyia Latip

TANJONG MALIM, 30 NOVEMBER 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melabuhkan tirai bagi Pesta Konvokesyen Kali Ke-26 dengan acara penutupan dengan anggaran seramai 1000 orang pengunjung yang hadir bagi memeriahkan majlis.

Pesta Konvokesyen UPSI kali ini berlangsung dari 23 hingga 30 November 2024 dipenuhi dengan pelbagai acara menarik termasuk pameran, gerai makanan, aktiviti kebudayaan, dan persembahan seni. Acara ini juga menjadi medium untuk memupuk hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat, sekali gus memperkenalkan UPSI sebagai institusi pendidikan yang inklusif dan dinamik.

Selain meraikan kejayaan para graduan, majlis ini juga merupakan platform untuk memperkukuhkan hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat melalui hiburan dan pelbagai aktiviti sampingan yang dianjurkan sepanjang pesta.

Majlis penutupan ini telah disempurnakan dengan ucapan khas oleh Prof. Dr Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, yang akan mengimbau kejayaan sepanjang konvokesyen kali ini. Dalam ucapan penutupannya, menekankan tema perpaduan, kecemerlangan pendidikan dan impak positif UPSI dalam masyarakat. Dengan suasana penuh keceriaan dan kehangatan, majlis ini menjadi simbol penghormatan kepada perjalanan akademik setiap graduan.

Bagi melengkapkan Majlis Penutupan Pesta Konvokesyen Kali Ke-26, majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff. Di dalam ucapan beliau menyampaikan penghargaan kepada pihak penganjur, staf, sukarelawan dan semua yang terlibat dalam memastikan kejayaan pesta ini, sekaligus menyeru agar semangat kerjasama ini diteruskan pada masa hadapan.

Majlis penutupan ini juga turut dimeriahkan oleh persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Aina Abdul, Andy, Danial Kifli, dan Zulfeka yang memukau para penonton dengan bakat mereka. Persembahan ini diatur bagi memberikan hiburan berkualiti serta memeriahkan acara penutupan, mencerminkan usaha UPSI dalam mengangkat seni muzik sejajar dengan nilai kecemerlangan ilmu.

Istiadat konvokesyen itu sendiri meraikan ribuan graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di pelbagai peringkat, daripada diploma hingga ke kedoktoran. Ia mencerminkan komitmen UPSI terhadap kecemerlangan akademik dan penyediaan modal insan berkualiti tinggi untuk negara.