Oleh: Afif Waqiuddin Abdul Rasid dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias
Tanjong Malim, 5 Januari 2025- Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Bengkel Pengucapan Awam dan Pengurusan Majlis. Program ini telah dilaksanakan di Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan turut melibatkan penyertaan aktif dari mahasiswa UPSI. Program ini disertai seramai lebih 100 penyertaan peserta dan ahli jawatankuasa program seramai 30 orang. Program ini juga turut dihadiri oleh dua orang panel jemputan yang berpengalaman dalam bidang protokol iaitu Anas Muhammad Farihin Osman, penyampai Berita RTM dan Nurul Hasanah Mohsan yang juga merupakan alumni UPSI.


Bengkel Pengucapan Awam dan Pengurusan Majlis merupakan satu program yang dijalankan secara terbuka kepada mahasiswa bagi melatih teknik pengucapan awam yang berkesan dan pengurusan majlis secara profesional. Program ini adalah salah satu usaha untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswamengenai gerak kerja dalam pengacaraan dan pengurusan majlis dalam program-program yang dianjurkan oleh persatuan. Selain itu, matlamat program ini dijalankaan adalah bagi mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran pengucapan awam supaya mereka boleh menggunakan kemahiran tersebut sebagai satu bidang pekerjaan.
Melalui penganjuran program ini, sedikit sebanyak mampu membentuk kemahiran berkomunikasi seseorang ketika berucap di hadapan. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran komunikasi serta kecekapan dalam menguruskan majlis dengan betul dan berkesan.
