Program yang menghimpunkan guru besar, penolong kanan dan guru-guru dari sekolah di daerah Hulu Selangor

Oleh Prof Madya Dr Shakinaz Desa dan Suhana Saad

Tanjong Malim, 14 November 2026 – Kecanggihan kecerdasan buatan (AI) membuka pelbagai peluang kepada guru untuk menghasilkan bahan pengajaran yang kreatif, menarik dan interaktif. Namun, sejauh manakah bahan yang dihasilkan benar-benar memenuhi tujuan pendidikan dan menyampaikan mesej pembelajaran yang sesuai kepada murid.

Persoalan ini menjadi antara fokus penting dalam program Pendigitalan dalam Meningkatkan Kompetensi Warga Guru yang berlangsung di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan penglibatan kepimpinan sekolah dan warga pendidik dari daerah Hulu Selangor.

Program ini merupakan inisiatif Puan Suhana binti Saad, School Improvement Partners+ (SIPartners+) di bawah Sektor Pengurusan Sekolah, Unit Pengupayaan Kepimpinan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor, yang mempertemukan kepimpinan sekolah dengan kepakaran universiti bagi meneroka pendekatan pendigitalan pendidikan yang lebih bermakna.

Prakarsa tersebut melibatkan tiga sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak, SK Kuala Kubu Bharu Satu dan SK Kuala Kubu Bharu Dua dari dearah Hulu Selangor.

Komitmen kepimpinan sekolah dizahirkan melalui penglibatan Samsudin bin Ahmad, Guru Besar SK Tun Abdul Razak; Shukri bin Sulong, Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Satu; dan Shamsul Aznan bin Mohd Isa, Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Dua, bersama barisan penolong kanan dan guru dari sekolah berkenaan.

Apabila teknologi bertemu prinsip pendidikan

Pengisian berkaitan AI dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Shakinaz Desa, pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, yang menyumbang kepakaran sebagai felo STEM Nurturing Centre UPSI.

Sesi tersebut mengetengahkan satu persoalan asas dalam penggunaan teknologi pendidikan: Adakah bahan pengajaran yang kelihatan menarik, lengkap dan kreatif semestinya mampu menyampaikan mesej pembelajaran yang tepat dan bermakna kepada murid?

Walaupun AI mempunyai pengetahuan tentang pelbagai teori pembelajaran, model pengajaran, pendekatan pedagogi dan prinsip reka bentuk multimedia, penjanaan kandungannya tidak semestinya mengambil kira kerangka pendidikan yang bersesuaian sekiranya tujuan, konteks dan keperluan pembelajaran tidak dijelaskan dengan baik.

Justeru, guru perlu memainkan peranan sebagai pereka bentuk pembelajaran yang menentukan bukan sahaja kandungan yang ingin dihasilkan, tetapi juga bagaimana kandungan tersebut disampaikan, kepada siapa ia ditujukan dan apakah hasil pembelajaran yang ingin dicapai.

Dr Shake Method: Mendahulukan pedagogi dalam pembinaan arahan AI

Antara pengisian utama bengkel ialah pengenalan Dr Shake Method, iaitu pendekatan pembinaan arahan (prompting) AI yang berasaskan tujuan serta berpandukan falsafah, teori dan prinsip pendidikan.

Pendekatan ini membimbing pendidik untuk mengambil kira objektif pembelajaran, profil murid, pendekatan pedagogi, reka bentuk kandungan, spesifikasi bahan serta semakan kualiti dan keselarasan hasil sebelum menggunakan bahan yang dijana AI.

Dua laluan turut diperkenalkan. Melalui laluan pertama, guru menetapkan sendiri pendekatan pedagogi yang ingin digunakan. Laluan kedua pula membolehkan AI mencadangkan pendekatan pedagogi untuk pertimbangan dan kelulusan guru.

Kedua-dua laluan menekankan bahawa AI berfungsi sebagai alat sokongan, manakala keputusan pedagogi, penilaian ketepatan kandungan dan kesesuaian bahan kekal di bawah pertimbangan profesional pendidik.

Pendekatan ini turut mengingatkan peserta bahawa bahan yang menarik perhatian belum tentu menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Kefahaman murid perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan penggunaan teknologi.

Daripada arahan AI kepada inovasi pembelajaran

Selain penerokaan pelbagai aplikasi AI, peserta turut didedahkan kepada teknik pembinaan arahan yang lebih sistematik, penggunaan papan pemuka interaktif serta penghasilan video pembelajaran menggunakan teknologi AI, termasuk aplikasi Google.

Penerokaan ini memperlihatkan potensi AI dalam membantu guru mempelbagaikan bentuk penyampaian kandungan, menghasilkan bahan visual dan menyediakan sumber pembelajaran yang boleh disesuaikan dengan keperluan murid.

Walau bagaimanapun, pemilihan teknologi perlu disertai pertimbangan terhadap ketepatan maklumat, kesesuaian bahasa, tahap perkembangan murid, prinsip reka bentuk multimedia serta aspek etika dan keselamatan penggunaan AI.

Dengan pendekatan sedemikian, inovasi tidak lagi dinilai semata-mata berdasarkan kecanggihan aplikasi atau keindahan persembahan, sebaliknya berdasarkan kesesuaiannya untuk menyokong tujuan pendidikan.

Kepimpinan sekolah melihat potensi AI dalam amalan pengajaran

Guru Besar SK Tun Abdul Razak, Samsudin bin Ahmad, berpandangan, “Kemahiran membina video pembelajaran menggunakan AI merupakan satu anjakan paradigma yang praktikal. Ianya membantu guru memperkukuh penyampaian ilmu dan memperkasakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.”

Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Satu, Shukri bin Sulong
Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Satu, Shukri bin Sulong
Guru Besar SK Tun Abdul Razak, Samsudin bin Ahmad

Sementara itu, Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Dua, Shamsul Aznan bin Mohd Isa, melihat pendedahan kepada pelbagai alat AI sebagai peluang untuk mencetuskan idea baharu dalam kalangan guru, meningkatkan minat murid serta mewujudkan suasana PdP yang lebih menarik dan terancang.

Bagi Guru Besar SK Kuala Kubu Bharu Satu, Shukri bin Sulong, kemahiran menghasilkan video pembelajaran memberikan nilai tambah kepada kompetensi sedia ada guru. Selain digunakan dalam bilik darjah, video ringkas juga berpotensi dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat dan peringatan kepada murid melalui saluran komunikasi bersama ibu bapa.

Ketiga-tiga pandangan tersebut memperlihatkan bagaimana penerokaan AI dapat dikaitkan dengan keperluan sebenar sekolah, khususnya dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan memperluas komunikasi pendidikan.

Prakarsa yang menghubungkan kepimpinan, pedagogi dan inovasi

Prakarsa yang digerakkan oleh PPD Hulu Selangor bersama tiga sekolah ini memperlihatkan kepentingan hubungan antara kepimpinan pendidikan dan kepakaran universiti dalam menyokong usaha pendigitalan sekolah.

Melalui sumbangan kepakaran STEM Nurturing Centre UPSI, program ini turut membawa mesej bahawa penguasaan teknologi perlu bergerak seiring dengan kefahaman pedagogi, pertimbangan etika dan tanggungjawab profesional guru.

Akhirnya, kepimpinan menggerakkan perubahan, pedagogi memberikan hala tuju, manakala inovasi menyediakan ruang untuk memperkayakan pembelajaran. Dalam era AI, nilai sebenar pendigitalan pendidikan bukan sekadar pada bahan yang mampu dihasilkan, tetapi pada kebijaksanaan pendidik memastikan teknologi dimanfaatkan untuk tujuan pembelajaran yang jelas, sesuai dan bermakna kepada murid.