Oleh: Nur Dayanah dan Azwa Adriana


Tanjong Malim, 17 Mei 2026 – Program Mahabbah Rasul: Rindu Tanpa Sempadan yang bertempat di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh keberkatan dan sambutan yang amat menggalakkan. Program anjuran Exco Modal Insan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Sidang 2025/2026 berjaya menghimpunkan para mahasiswa/i  serta masyarakat sekitar Tanjong Malim dalam suasana penuh penghayatan dan keberkatan. 

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menyemai rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW melalui pengisian sesi tausiyah dan alunan qasidah. Sesi tausiyah dengan tajuk Tangisan Terakhir Buat Ummah bersama penceramah jemputan Imam Muda Asyraf menjadi antara tarikan dalam keberhasilan program ini. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan kolaborasi bersama kumpulan Qasidah iaitu Syabab Al Mustofawiyyah yang mempersembahkan alunan qasidah yang penuh penghayatan dan sarat dengan makna yang mendalam. 

Program ini turut menjadi medium dalam mengeratkan ukhuwah antara mahasiswa/mahasiswi serta masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti kerohanian yang dianjurkan. Kehadiran dan kerjasama yang diberikan oleh para peserta jelas membuktikan bahawa program berbentuk keagamaan seperti ini masih mendapat tempat dalam kalangan generasi muda serta mampu memberi kesan positif terhadap pembentukan jati diri dan nilai murni.

Ucap Faris Iman Abdul Razak selaku Pengarah Program dalam ucapan alu-aluan majlis penutup, program seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah unggul dalam aspek sahsiah dan rohani. Hal ini kerana ilmu tanpa akhlak tidak akan membawa keberkatan, manakala akhlak yang baik mampu mengangkat martabat seseorang individu dalam kehidupan bermasyarakat.

Cik Ummikalsum Mat Lazim, Felo Penasihat Program mengatakan  bahawa setiap pengisian yang disampaikan sepanjang program ini sedikit sebanyak mampu membuka hati mahasiswa untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memperbaiki hubungan sesama manusia. Beliau juga berharap agar semangat ukhuwah serta kecintaan terhadap Rasulullah SAW yang diterapkan sepanjang program dapat terus disemai dalam kehidupan mahasiswa.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pengisian ilmu dan kerohanian, malah mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah mahasiswa yang lebih berakhlak mulia dan berjiwa besar”. Ucap ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman dalam ucapan perasmian beliau. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha penganjuran program seperti ini yang mampu menjadi medium dalam membentuk mahasiswa yang seimbag dari aspek intelektual, emosi dan spiritual.

Selain menjadi platform pengisian rohani, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa/mahasiswi untuk memperkukuhkan kefahaman agama serta membina sahsiah yang lebih baik berlandaskan nilai-nilai Islam. Suasana program yang harmoni dan penuh ketenangan menunjukkan sambutan yang amat positif daripada para peserta yang hadir.

Program ini bukan sekadar sebuah program kerohanian, tetapi juga menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa/i yang berakhlak mulia, berjiwa besar dan sentiasa meletakkan kecintaan kepada Allah SWT serta Rasulullah SAW sebagai panduan hidup. Diharapkan program sebegini akan dapat diteruskan pada masa hadapan agar ukhuwah dan sahsiah terpuji terus subur dalam jiwa generasi muda.