Oleh : Khoirun Nisya Ruslan
Tanjong Malim – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI terus memacu kebolehpasaran bakal pendidik menerusi penganjuran Program Siri-Siri Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP); Siri 1 SPP – Bersama Pengawai SPP dan Siri 2 SPP – Tips dan Strategi Persediaan Temuduga. Inisiatif berimpak tinggi ini berjaya menarik penyertaan luar biasa daripada mahasiswa UPSI, dengan kehadiran 957 pelajar pada Siri 1 dan 591 pelajar pada Siri 2.
Siri 1 SPP – Bersama Pengawai SPP yang berlangsung pada 28 September 2026 membawakan Penolong Setiausaha SPP, Encik Mahfuz bin Mahmood. Beliau menitikberatkan tatacara penggunaan portal mySPP serta alur kerja hari temu duga, sambil menegaskan bahawa ketepatan data di portal mySPP merupakan cermin pertama diri calon, di mana maklumat akademik dan kokurikulum yang sahih menjadi prasyarat utama sebelum disenarai pendek.
Manakala Siri 2 SPP – Tips dan Strategi Persediaan Temuduga pada 10 Oktober 2026 pula menampilkan Dekan IPS UPSI, Prof. Dr. Ridzwan Che Rus, sebagai penceramah. Beliau mengupas kriteria penilaian temu duga, dan mengingatkan peserta pentingnya untuk mencapai markah lulus minimum 70%. Beliau menekankan bahawa penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Abad ke-21 yang lengkap dan penguasaan pedagogi bernas adalah bukti kesediaan hakiki seorang bakal guru, bukannya sekadar hadir menjawab soalan secara biasa.



Selain kriteria akademik, calon diingatkan pentingnya untuk melepasi syarat BMI 35 ke bawah (standard WHO) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta mengelakkan dari membuat kesilapan kritikal seperti keciciran RPH atau komunikasi tidak tersusun ketika menghadiri dan semasa temuduga. Penampilan rasmi, seperti memakai blazer dan bertali leher bagi lelaki atau berbaju kurung lengkap bagi wanita, turut mencerminkan tahap disiplin tertinggi dan profesionalisme seorang bakal pendidik.
Bagi memikat panel penilai, calon disaran menyuntik kefahaman holistik terhadap dasar pendidikan semasa dalam jawapan mereka. Antara fokus utama termasuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pembentukan JERI, aspirasi Malaysia MADANI, Akta Pendidikan 1996, Dasar Pendidikan Digital (DPD), PBD, PAJSK, Program Transformasi Minda, dan hala tuju Kurikulum Persekolahan 2027. Menerusi inisiatif ini, EDGE UPSI membuktikan komitmen berterusan dalam melahirkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 yang yakin, berkaliber, dan berdaya saing tinggi.
