oleh: Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain

Putrajaya – 18 November 2026.  Dua jurnal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026 dalam Majlis MRSA yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada hari ini.

Jurnal tersebut ialah Malaysian Journal of Music (MJM) di bawah Ketua Editor, Dr. Wong Huey Yi @ Colleen Wong yang menerima Anugerah Pengiktirafan Jurnal CREME Kategori SCOPUS bagi Kategori Seni Kemanusian dan Sains Sosial.

Satu lagi jurnal UPSI menerima Anugerah Pengiktirafan Jurnal CREME Kategori SCOPUS bagi Kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM) melalui Journal of Science and Mathematics Letters (JSML) di bawah Ketua Editor Profesor Madya ChM. Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr Aminuddin Hassim. Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman.

Anugerah MRSA merupakan satu usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengiktiraf penyelidik dalam penghasilan karya ilmiah yang berkualiti  dan  berimpak  tinggi  terhadap  sosial  dan  pembangunan  negara  serta pengiktirafan kepada jurnal Malaysia yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data.

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata pencapaian dua jurnal UPSI ini sangat membanggakan dan ia mengangkat reputasi penyelidik UPSI yang sentiasa menghasilkan karya ilmiah berkualiti dan berimpak tinggi khasnya dalam seni kemanusian dan sains sosial serta STEM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar  berkata kejayaan jurnal UPSI ini hasil daripada komitmen yang tinggi daripada ketua editor jurnal tersebut selain kepimpinan yang mantap di peringkat Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI).

“Perancangan strategik Penerbit UPSI yang diatur pada tahun lepas untuk menerima anugerah ini menjadi kenyataan pada 2026”  tambah Profesor Dr. Suriani.  

Ketua Editor MJM, Dr. Colleen Wong berkata pengiktirafan ini amat bermakna buat sidang editor mereka. Ia menjadi pendorong untuk mereka terus meningkatkan mutu penerbitan, memperluas kerjasama akademik antarabangsa dan memperkukuh kedudukan MJM di peringkat global.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada sidang editor MJM dan Penerbit UPSI yang banyak membantu dalam urusan penerbitan jurnal. Tidak dilupakan juga Fakulti Muzik dan Seni Persembahan atas kepercayaan dan dorongan yang diberikan” sambung Dr. Colleen.

Dr. Wan Mohd Nuzul, Ketua Editor JSML pula menzahirkan rasa syukur di atas pencapaian ini. Menurut beliau, kejayaan JSML menerima pelbagai anugerah selama ini hasil bantuan dan sumbangan semua pihak daripada Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Jawatankuasa Pengurusan UPSI, Jawatankuasa Penerbitan UPSI, Dekan dan staf fakulti, Pengarah dan kakitangan Seksyen Jurnal, Penerbit UPSI sehinggalah ke rakan sidang editor jurnal serta Perunding Jurnal UPSI, Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya.

Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Madya Dr. Nordiana Hamzah dan Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr. Laili Farhana Md Ibharim berkata kejayaan ini mengulangi pencapaian UPSI dalam MRSA pada 2019 menerusi MJM yang menerima pengiktirafan Jurnal Berpotensi CREME.

“Sebagai penerbit untuk 32 jurnal UPSI, kami sentiasa meningkatkan kualiti jurnal bagi menghasilkan karya ilmiah berimpak tinggi” kata mereka ketika ditemu bual.