Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
London, United Kingdom, 11 Disember 2024 – QS Reimagine Education Awards yang disebut sebagai ‘Oscars’ in Education merupakan platform paling berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan perintis pendidikan di seluruh dunia, memberi inspirasi kepada inovasi dalam mengubah landskap pendidikan, meningkatkan hasil pembelajaran serta meningkatkan kebolehpasaran generasi masa hadapan. Anugerah ini dianjurkan oleh QS iaitu badan penarafan institut pengajian tinggi antarabangsa.
Pada tahun ini UPSI melakar sejarah sebagai antara Universiti yang paling ramai finalis di pentas akhir dengan diwakili oleh tiga orang pensyarah, dalam kategori berbeza.


Finalis Anugerah Blended and Presence Learning ialah Ts Dr Kesavan a/l Nallaluthan daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dengan inovasi beliau ‘Student as Manager: A Better Quality Education for Next Generation’.

Dalam kategori beliau, hanya sepuluh sahaja inovasi yang telah terpilih untuk berada di peringkat akhir ini daripada penyertaan seantero dunia. Kategori ini telah dimenangi oleh inovasi ‘AGORA Ecosystem of Spaces’ oleh Technologico de Monterrey, Mexico.
Bagi Anugerah Immersive Experiential Learning pula, UPSI diwakili di pentas akhir oleh Ts Dr Chee Ken Nee daripada Fakulti Komputeran Dan Meta-Teknologi dengan inovasi ‘Virtual Reality Teacher Training (VIRTT)’.

Hanya 17 sahaja inovasi dalam kategori sama yang terpilih diiktiraf di pentas akhir anugerah elit ini. Kategori ini telah dimenangi oleh inovasi “IMD’s XR 360 AR: SpheriCO2” daripada Switzerland.
Manakala, Dr. Mohamad Rohieszan Ramdan daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi merupakan Finalis Anugerah Access, Diversity and Inclusion dengan inovasi ‘EmpowerVision: Inclusive Business Tools for the Blind’.

Untuk kategori ini jumlah finalis ialah 12 yang terbaik daripada penyertaan global. Kategori ini telah dimenangi oleh inovasi ‘Zerobionic’ daripada Kenya.
Anugerah dan Persidangan QS Reimagine Education 2024 diadakan pada 9 hingga 11 Disember 2024 di Queen Elizabeth II Centre, London, United Kingdom.
Terdapat 18 kategori anugerah yang dipertandingkan bagi 2024. Bagi Kategori Future of Learning, anugerah yang dipertandingkan ialah Artificial Intelligence in Education, Best use of Generative AI, Blended and Presence Learning, e-learning, Immersive experiential learning, Learning Assessment dan Neuroscience of Learning.



Anugerah dibawah kategori Future of Universities ialah Innovation in Business Education, Smart Omnichannel Campus, The Power of Partnerships.
Manakala anugerah dalam kategori Future of Work ialah Developing Emerging Skills and Competencies, Lifelong Learning, Nurturing Employability.
Selain itu terdapat kategori Sustainability, anugerah Sustainability Education: Action dan Sustainability Education: Literacy serta kategori Values, anugerah Access, Diversity & Inclusion, Nurturing Values and Ethics dan Nurturing Wellbeing and Purpose.
Terdapat juga sesi perkongsian utama, bengkel dan sesi selari semasa tiga hari persidangan berlangsung.
Pemenang keseluruhan bagi QS Reimagine Global EdTech Award bernilai Google Cloud credits ditaja oleh Amazon Web Services dengan nilai USD 25,000 dianugerahkan kepada ZNotes daripada United Kingdom.
Manakala, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran, dua penerima bersama anugerah utama QS Reimagine Education Global Education Award bernilai USD 25,000 pada tahun ini dengan nilai USD 12500 setiap satu oleh Hong Kong Polytech University, dengan inovasi Engage, Empower, Excel: PolyU’s Smart Campus dan inovasi Smart Forests oleh FACENS, Brazil.
Pada tahun ini Anugerah Lifetime Impact Achievement Award dianugerahkan kepada Prof Emeritus Dr Jerry Wind daripada The Wharton School yang merupakan pengasas bersama anugerah ini selain Presiden QS Nunzio Quacquarelli.

Semoga pengikitirafan ini menjadi pemangkin semangat bagi lebih banyak inovasi pengajaran dan pembelajaran untuk menjulang lagi UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan. Demi UPSI!
