Oleh: Dr. Asmawi Hashim
Taiping, 27 November 2024 – Program Pendayaupayaan Pengguna Bestari Melalui Kemahiran dan Pengetahuan dalam Advokasi Kepenggunaan berjaya dilaksanakan di Sekolah Tunas Bakti (STB), Taiping, pada 20 dan 27 November 2024.
Program ini bertujuan memperkasakan pelatih dengan kemahiran dan pengetahuan kepenggunaan, sekali gus membentuk mereka sebagai pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Ketua program, Dr. Asmawi Hashim, bersama empat perunding lain iaitu Dr. Mohamad Rohieszan Ramdan dan Dr. Norimah Rambeli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Puan Ruzimas Ayu Razali dari Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), dan Puan Noor Hayati Zaman dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.
Manakala seorang pelatih siswazah turut menyumbang tenaga sepanjang pelaksanaan aktiviti bagi memindahkan pengetahuan sedia ada kepada 30 peserta program, yang terdiri daripada pelatih-pelatih dari pelbagai peringkat umur dan latarbelakang.
Menurut Dr. Asmawi, program ini dirangka untuk meningkatkan pemahaman pelatih-pelatih STB mengenai ilmu kepenggunaan sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat pengajian di institut tersebut.
“Kami ingin membina keyakinan diri mereka agar menjadi individu yang mampu membuat pilihan bijak dalam pelbagai situasi,” katanya.
“Program ini mendapat kerjasama erat daripada pihak pengurusan STB, yang diketuai oleh Tuan Abdul Razak Yahya dan Tuan Muhammad Yusof Abu Bakar, serta sokongan daripada JKM, khususnya Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Dr. Sopian Brahim.
“Manakala, sokongan dana sebanyak RM6,000 daripada Research Management and Innovation Center (RMIC) UPSI turut memastikan kelancaran program.
“Program ini telah memberi impak positif kepada pelatih STB. Mereka dilihat lebih memahami hak sebagai pengguna dan berupaya membuat keputusan yang lebih bijak.
Tambah belaiu, beberapa pelajar menyatakan bahawa modul yang disampaikan membuka minda mereka terhadap kepentingan perancangan kewangan dan pengurusan risiko pengguna.
Selain itu, program ini juga memberi manfaat besar kepada perunding yang terlibat.
Sementara itu, menurut Dr. Mohamad Rohieszan, pengalaman ini memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan masyarakat, serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program berbentuk advokasi yang lebih luas pada masa akan datang.
Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dengan memperkasa modul pembelajaran yang telah dibangunkan oleh mereka bertajuk “Pengguna Bijak”, termasuk elemen praktikal seperti simulasi keusahawanan pengguna dan simulasi jualan bagi membina pengguna yang bijak.
“Kami juga ingin melihat lebih banyak kolaborasi dengan institusi lain untuk memperluaskan impak program,” ujar beliau.
Program ini menjadi bukti kukuh bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kebajikan mampu memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan insan. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa depan.