Oleh: Haziq Hamidi dan Hafiz Abd Manap

Tanjong Malim 12 Disember 2024 – Bertempat di Scholar’s Suites Universiti Pendidikan Sultan Idris, seramai 36 perwakilan daripada 20 Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Malaysia telah hadir dan melibatkan diri dalam Bengkel dan Mesyuarat Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) kali ke-90.

Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) merupakan satu badan yang menyelaraskan hal berkaitan pengurusan perumahan dan kemudahan kediaman pelajar di Universiti Awam (UA) di Malaysia.

Ahli MAPUM bergambar selepas selesai sesi menyuarat

Ia memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan pelajar yang tinggal di kolej kediaman terjaga dan diberi perhatian secara langsung demi kesejahteraan mahasiswa.

MAPUM juga sering mengadakan mesyuarat berkala bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pengurusan kolej kediaman Universiti Awam (UA) di Malaysia serta membincangkan dasar dan strategi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelajar dan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dipilih untuk menjadi tuan rumah pada mesyuarat kali ini.

Ucapan YBrs. Encik Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi

Mesyuarat rasmi berlangsung pada pagi hari di Bilik Titiwangsa, Scholar’s Suites UPSI. Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil-wakil dari pelbagai universiti awam, yang membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan pelajar, penyelarasan pengurusan perumahan, dan cadangan untuk menambah baik infrastruktur kolej kediaman.

Perbincangan yang produktif ini membuka ruang kepada idea-idea baharu untuk memastikan kolej kediaman terus menjadi tempat yang selesa dan kondusif untuk para pelajar.

Pertandingan Boling MAPUM 2024 bertempat di UPSI Sports Bowl

Mesyuarat kali ini juga turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi  Encik Hirman Awang dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Encik Kaliyapan Rajakumaran.

Ahli MAPUM juga disajikan dengan aktiviti santai iaitu Pertandingan Boling MAPUM 2024 bertempat di UPSI Sports Bowl, pertandingan ini bertujuan mengeratkan hubungan serta membina semangat kerja berpasukan.

Ucapan Aluan Pengerusi Majlis Pengetua UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan

Gelak tawa dan suasana ceria menjadikan aktiviti ini sebagai platform yang sempurna untuk merehatkan minda sambil memperkukuh hubungan antara ahli MAPUM.

Pengerusi Majlis Pengetua UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan menyampaikan harapannya agar hubungan baik yang telah terjalin antara universiti awam terus diperkukuh dan diteruskan pada masa hadapan.

Ucapan tersebut disusuli oleh Pengerusi MAPUM, Dr. Sazili Shahibi, yang melahirkan rasa puas hati terhadap perjalanan mesyuarat pada kali ini.

Ucapan daripada Pengerusi MAPUM, YBrs. Dr. Sazili Shahibi

Beliau turut mengucapkan penghargaan atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh tuan rumah dan semua urusetia yang menjadikan mesyuarat kali ini lebih bermakna.

Keseluruhan aktiviti bagi mesyuarat kali ini bukan sahaja mencapai matlamat perbincangan rasmi, tetapi juga memperkukuh hubungan profesional dan peribadi antara ahli MAPUM.

Sebagai tuan rumah, UPSI menyerlahkan identitinya sebagai institusi pendidikan unggul melalui layanan mesra dan program yang tersusun. Kejayaan ini turut memperkukuh peranan UPSI dalam menyokong kerjasama antara universiti awam di Malaysia.