Oleh: Abdul Azim Kasri, Muhamad Aiman Hakim Mohd Saufi, Kamalia Izzati Ahmad Rahimi & Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim- Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan sebuah “Bengkel Brainstorming Route Map PTQ” sebagai persediaan persatuan merangka perancangan bagi sidang 2024/2025 yang berlangsung selama 2 hari. Bengkel ini telah dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan dan proses gerak kerja Persatuan Tahfiz Qiraat terutamanya kepada barisan pimpinan sidang 2024/2025 yang baru sahaja dilantik sebagai Majlis Tertinggi dan Barisan Exco serta mengeratkan ukhuwah islamiah antara barisan pimpinan.
Bengkel ini telah berjalan dengan lancar menerusi pengisian-pengisian yang padat dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tentang aliran gerak kerja (workflow) Persatuan Tahfiz Qiraat. Terdapat sejumlah 5 slot yang telah berlangsung sepanjang Bengkel Brainstorming Route Map PTQ ini. Setiap slot ini telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI yang menekankan dan menggariskan aliran gerak kerja persatuan yang mempunyai 5 aspek utama iaitu fasa pra-perancangan, fasa perancangan dan penulisan kertas kerja serta urusan surat-menyurat, fasa pelaksanaan gerak kerja sebelum, semasa dan selepas program serta penulisan laporan akhir program.
Menurut Yang Di-Pertua Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI, Abdul Azim Kasri berkata, “Pada sidang kali ini, Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI menerusi pimpinan ‘Qiyadatul Wehdah’ lebih komited dan lebih cakna terutamanya dalam perancangan dan pelaksanaan setiap program supaya lebih teratur, lebih kemas dan lebih bersistematik. Kita harapkan dengan penstrukturan semula aliran gerak kerja Persatuan Tahfiz Qiraat ini dapat membantu persatuan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa akan datang.”
Melalui Bengkel Brainstorming Route Map PTQ ini, setiap pimpinan memperoleh satu ilmu pengetahuan dan kemahiran lebih mendalam tentang setiap aspek perancangan dan pelaksanaan sesebuah program. Semoga Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI terus mengorakkan langkah ke hadapan dalam misi dakwah yang menjadi niat dan tekad utama persatuan.