Oleh: Nur Batrisyia Mohd Nizam
Tanjong Malim, 21 Mei 2026 – Program Global Scholar Town Hall: Cultural and Initiatives Exchange yang berlangsung dengan jayanya melibatkan penyertaan mahasiswa tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada 20 negara.
Program ini diadakan bagi memperkukuh hubungan global serta meningkatkan pemahaman budaya antara peserta daripada pelbagai latar belakang negara.

Pelaksanaan program ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman berkaitan tradisi budaya, cara komunikasi serta cabaran dalam mengekalkan identiti budaya dalam era globalisasi.
Antara topik yang menjadi fokus utama ialah tradisi atau sambutan budaya yang wajar diperkenalkan kepada masyarakat dunia, kesan interaksi silang budaya terhadap kehidupan harian, serta amalan kecil budaya yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
Program ini turut menampilkan sesi town hall yang memberi ruang kepada peserta menyuarakan pandangan dan pengalaman masing-masing secara terbuka di mana secara tidak langsung berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan toleransi, hormat-menghormati dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dalam komuniti global.

Menurut Pengarah Program Global Scholar Town Hall, Muhamad Aziq Aiman Bin Mohamad Azha, program seperti ini mampu menjadi platform penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih berfikiran terbuka dan mempunyai nilai kepimpinan global sejajar dengan perkembangan dunia masa kini.
“Interaksi antara budaya bukan sahaja membantu kita memahami cara hidup masyarakat lain, malah membentuk kemahiran komunikasi, empati dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya
Wakil peserta Yemen dari Multimedia University, Ali Reem Karam Mahdi menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman bermakna yang membuka ruang untuk memahami budaya masyarakat lain secara lebih dekat.

“Program seperti ini memberi peluang kepada kami untuk berkongsi budaya negara masing-masing sambil belajar menghormati perbezaan budaya dan cara hidup masyarakat lain. Ia menjadikan kami lebih terbuka dan yakin untuk berkomunikasi dalam persekitaran antarabangsa,” katanya.
Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof. Madya Dr. Che Ghani menegaskan kepentingan program ini sebagai satu inisiatif yang berjaya memperluas perspektif mahasiswa terhadap kepelbagaian budaya serta menggalakkan interaksi yang lebih bermakna antara peserta tempatan dan antarabangsa.
“Program ini berjaya memberi pendedahan yang sangat baik kepada mahasiswa dalam memahami kepelbagaian budaya, di samping menggalakkan interaksi yang lebih bermakna serta membina semangat saling menghormati dalam kalangan peserta, Tahniah kepada semua jawatankuasa terutama Penasihat Program, Dr. Mohd Syariefudin Abdullah dan En. Mohd Raizol Ramli.” katanya.
Selain memperkenalkan keunikan budaya masing-masing, para peserta turut menekankan kepentingan mengekalkan warisan budaya tempatan agar tidak terpinggir dalam arus pemodenan dan globalisasi. Program ini diakhiri dengan sesi perkongsian idea serta pembentukan jaringan persahabatan merentas negara, sekali gus memperkukuh hubungan antara mahasiswa di peringkat antarabangsa melalui semangat saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya.

