Oleh: Nuryee Sin Giap Binti Abdullah Ibrahim Giap
Tanjong Malim, 9 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kehadiran pelajar baharu program Diploma bagi sesi akademik 2026/2027 dalam suasana yang meriah dan teratur. Pendaftaran yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI menyaksikan seramai lebih 1,004 orang pelajar baharu berjaya mendaftarkan diri.

Turut hadir meninjau perjalanan pendaftaran ialah Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Beliau meluangkan masa menyantuni pelajar baharu serta ibu bapa yang hadir, di samping menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan dan petugas yang bertungkus-lumus memastikan urusan pendaftaran berjalan dengan lancar. Kehadiran beliau membuktikan komitmen UPSI dalam memberikan pengalaman terbaik kepada warga baharu universiti.
Bagi memastikan kelancaran program, seramai 101 orang sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) bersama beberapa penasihat telah bertugas sepanjang hari pendaftaran. Mereka memainkan peranan penting dalam membantu pelajar dan ibu bapa menguruskan pelbagai urusan pendaftaran serta memberikan panduan berkaitan kehidupan kampus.

Seawal pagi, kawasan pendaftaran dipenuhi dengan pelajar baharu dan keluarga masing-masing yang hadir dari pelbagai negeri. Walaupun menerima kehadiran yang ramai, proses pendaftaran berjaya dijalankan dengan lancar hasil kerjasama erat antara pihak universiti, sukarelawan dan petugas yang terlibat.
UPSI turut menyambut kemasukan sembilan orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) bagi sesi kali ini. Pelbagai kemudahan dan bantuan disediakan bagi memastikan mereka dapat menjalani proses pendaftaran dengan selesa dan mudah. Usaha ini mencerminkan komitmen UPSI dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang inklusif dan mesra pelajar.

Pendaftaran ini bukan sekadar proses kemasukan ke universiti, malah menjadi permulaan kepada perjalanan akademik yang baharu buat para pelajar. Dengan semangat dan azam yang tinggi, mereka kini melangkah ke alam pendidikan tinggi sebagai generasi baharu Anak Kandung Suluh Budiman, sekali gus meneruskan legasi kecemerlangan UPSI.

