TANJONG MALIM, 16 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasminya dipilih sebagai universiti awam perintis bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, sekali gus menandakan transformasi besar dalam dasar pembangunan belia di Malaysia. Program yang berpaksikan model berasaskan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ini bertujuan melahirkan generasi yang memiliki jati diri teguh, semangat patriotisme tinggi, serta kualiti kepimpinan yang unggul.

Majlis peluncuran program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir. Beliau menegaskan bahawa PLKN 3.0 bukan sekadar kesinambungan model terdahulu, sebaliknya merupakan peralihan kepada sistem yang lebih berjangka panjang dan berintegrasi sepenuhnya dengan kurikulum akademik mahasiswa.

Projek rintis di UPSI yang telah bermula pada 9 Jun 2026 ini berfungsi sebagai platform pengujian utama bagi menilai kesesuaian modul dan struktur akademik sebelum pelaksanaan menyeluruh dilakukan di 19 buah Universiti Awam (UA) lain di seluruh negara bermula tahun 2027.

Bagi fasa pertama ini, seramai 1,005 pelajar baharu Diploma ambilan Jun 2026 telah terpilih sebagai pelatih, yang terdiri daripada 567 lelaki dan 438 perempuan. Para pelatih ini akan menjalani latihan melalui tiga komponen utama iaitu:

  • Modul Ketenteraan (40%): Fokus kepada disiplin dan ketahanan.
  • Modul Kepimpinan (30%): Membentuk sahsiah dan kualiti kepemimpinan.
  • Modul Kenegaraan (30%): Memperkukuh perpaduan dan cinta akan negara

Pelaksanaan modul ini dijalankan secara bersepadu merangkumi minggu orientasi, waktu kuliah serta pada musim cuti semester.

Kejayaan program ini disokong oleh peruntukan kewangan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tujuan pembangunan program serta naik taraf kemudahan infrastruktur bagi tujuan kelancaran program.

Selain itu, program ini turut memanfaatkan kepakaran akademik UPSI, di mana pensyarah daripada pelbagai fakulti terlibat secara langsung dalam pembangunan modul Ketenteraan, Kepimpinan, dan Kenegaraan.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry turut menyeru para pelatih, yang digelar sebagai ‘Wira Muda’, untuk menjadi ejen perpaduan dan mengekalkan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat. Beliau menyatakan bahawa dapatan kaji selidik menunjukkan program ini berkesan dalam meningkatkan disiplin dan toleransi kaum dalam kalangan peserta.

“Masa depan negara terletak di tangan generasi muda. Saya melihat di hadapan saya hari ini bukan sekadar pelatih, tetapi bakal pemimpin dan profesional yang akan mencorakkan masa depan Malaysia,” ujar beliau sebelum merasmikan majlis tersebut.