oleh Nordiana Ramli 

GERIK, 30 Oktober 2026 – Seramai 55 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program Bakti Siswa dan Advokasi Kesihatan RPS KEMAS 2026 bagi melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat bersama penduduk Orang Asli di empat perkampungan di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Perak.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Orang Asli (PERMOA) UPSI itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 30 Okt hingga 1 Nov lepas.

Empat kampung yang terlibat ialah Kampung Chiong, Kampung Tebang, Kampung Charok Bos dan Kampung Chuweh, dengan penyertaan turut melibatkan 10 wakil Pusat Kokurikulum UPSI, pegawai JAKOA serta pensyarah universiti berkenaan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk gotong-royong, penanaman pokok bunga, pengagihan bakul makanan kepada penduduk, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan sesi motivasi untuk golongan belia.

Ketua Pengarah JAKOA Muhammad Akmal Ila Ahmad menyempurnakan majlis perasmian program di Kampung Chiong yang turut dihadiri Pengarah JAKOA Perak dan Kedah Harulnizam Abd Rahman serta Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Ungku Omar UPSI Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan.

Program itu bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti Orang Asli, selain memupuk semangat kesukarelawanan dan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap tanggungjawab sosial serta kepelbagaian budaya masyarakat setempat.

Penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami kehidupan dan persekitaran komuniti Orang Asli, di samping mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

Kerjasama antara JAKOA, UPSI dan PERMOA itu diharap dapat diteruskan menerusi pelaksanaan program seumpamanya bagi memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat serta menyokong kesejahteraan komuniti Orang Asli.