oleh Dr. Hartini Ismail
TANJONG MALIM, 11 Jun 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkasa agenda pengantarabangsaan menerusi lawatan rasmi dan sesi perbincangan strategik bersama Universitas Slamet Riyadi (UNISRI), Surakarta, Indonesia bagi meneroka peluang kerjasama yang berpotensi memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi.
Program yang diselaraskan oleh International Mobility and Collaboration Centre (IMAC) UPSI itu menghimpunkan wakil Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang diketuai oleh Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah bersama beberapa pensyarah fakulti termasuk Dr. Mohd Afifi Bahurudin Setambah, Dr. Hartini Ismail dan Dr. Noor Asmina Mohd Rashid.
Delegasi UNISRI terdiri daripada sembilan orang pensyarah bidang pendidikan diketuai oleh Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Dr. Sri Handayani. Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan profesional itu memberi fokus kepada beberapa bidang kerjasama strategik, khususnya berkaitan akademik seperti penganjuran syarahan jemputan, team-teaching, mobiliti pensyarah dan pelajar, penerbitan artikel jurnal serta peluang kerjasama geran penyelidikan sepadan.
Selain itu, kedua-dua institusi turut memulakan langkah awal hubungan dengan pemeteraian Letter of Intent (Loi) sebagai asas kepada hubungan akademik yang lebih tersusun dan mampan pada masa hadapan.

Kerjasama yang bakal dijalin ini dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada perkongsian kepakaran, penghasilan penerbitan berimpak tinggi serta peningkatan keterlihatan antarabangsa kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkukuh jaringan akademik rentas sempadan dan memperluaskan kerjasama strategik serantau, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju pendidikan bertaraf dunia.
Kerjasama antara UPSI dan Universitas Slamet Riyadi bukan sahaja memperkukuh hubungan dua institusi, malah menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan komuniti akademik Malaysia dan Indonesia ke arah pembangunan pendidikan yang lebih cemerlang dan lestari.
