Oleh: Nur A’iesyah Umairaa dan Norrulkamari Daud

Tanjung Malim, 15 Jun 2026 – Program M.A.J.U : Minggu Aspirasi dan Jelajah Unggul 2026 Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan bagi menyambut kemasukan mahasiswa/i baharu ke alam pengajian tinggi. Program yang berlangsung ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para mahasiswa berkaitan kehidupan kampus, sistem akademik, peraturan universiti serta kemudahan yang disediakan.

Seramai 168 orang pelajar diploma ambilan Jun sesi 2026/2027 telah berjaya mendaftarkan diri di UPSI dalam bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) beberapa hari lalu terlibat secara langsung dalam program MAJU 2026 melalui kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), FPM dan juga Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK).

Program Minggu Aspirasi dan Jelajah Unggul (MAJU) telah berjaya dianjurkan di Dewan Kuliah Pusat 2, KSAS, UPSI yang merupakan salah satu platform untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/i baharu tentang fakulti dan juga sistem akademik yang akan mereka hadapi selama dalam tempoh dua tahun pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI.

Antara objektif utama pelaksanaan program MAJU 2026 adalah memberi pendedahan awal kepada mahasiswa/i baharu mengenai persekitaran kampus, mengenali struktur organisasi fakulti dan sistem pembelajaran dalam peringkat diploma selain juga bertujuan untuk membantu mahasiswa/i baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti dari aspek akademik, sahsiah dan sosial. Tambahan, minggu orientasi pelajar baharu ini juga membantu mereka dengan sokongan dan semangat yang baru dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti di samping membina keyakinan diri, kerjasama dan hubungan yang erat antara mahasiswa/i, pensyarah serta warga fakulti.   

Antara pengisian utama yang telah dijalankan sepanjang program MAJU 2026 ini ialah slot bersama pihak pengurusan FPM iaitu bersama Dekan fakulti, slot bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FPM, slot bersama persatuan Diploma PAKK, slot bersama Ketua Jabatan dan juga slot bersama penyelaras program Diploma PAKK. Kesemua slot yang dihadiri oleh barisan pengurusan fakulti dan pensyarah ini sememangnya memberi kefahaman kepada siswa/i baharu dalam proses mengenali fakulti dan juga struktur pengajian Diploma dengan lebih baik. Selain itu, dilaksanakan juga pelbagai aktiviti menarik sewaktu sesi ice-breaking bersama persatuan DPAKK dengan menekankan ta’aruf dan saling mengenali antara satu sama lain.

Seterusnya ialah bicara pemimpin sebagai medium perkongsian pengalaman serta inspirasi daripada individu berpengalaman yang disampaikan oleh Dr. Abdul Halim Masnan selaku TDHEPA FPM. Di samping itu, dijalankan sesi aspirasi bicara fakulti yang disampaikan oleh Dekan FPM iaitu Prof. Dr. ABdul Talib Mohamed Hashim dengan memperkenalkan visi, misi dan hala tuju fakulti kepada mahasiswa/i baharu.

Kenali program kita melalui slot bersama ketua jabatan iaitu Dr. Seah Siok Peh sangat memberi input yang positif kepada pelajar baharu tentang selok belok program DPAKK. Selain itu, slot bersama penyelaras program iaitu Dr. Hazhari Ismail memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai struktur pengajian dan mendedahkan peluang hala tuju dan prospek kerjaya selepas tamat pengajian dalam bidang pengajian Diploma PAKK serta eksplorasi ilmu yang memberi ruang kepada mahasiswa/i dalam meneroka suasana pembelajaran secara lebih interaktif dan menyeronokkan.

Program ini berakhir dengan sesi fotografi bersama semua yang hadir dan juga mahasiswa/i pelajar baharu DPAKK, FPM.

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar baharu kerna telah menjadi salah seorang warga ibu kandung suluh budiman, di sini tempat mencari ilmu, di sini jualah lahirnya seorang pendidik dan mahasiswa/i yang kaya dengan adab, akhlak dan cemerlang dari aspek akademiknya. Semoga dengan peluang ini dapat memberi semangat kepada pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya yang baru di UPSI tercinta ini.