Oleh : Nur Aqilah Mohd Aidill
Tanjong Malim, 12 Januari 2026 – Majlis penghargaan dan pengiktirafan pelajar iaitu Program Dean’s Award:Compassion Meets Excellence telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Kolej Za’ba dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai semester serta kehadiran tetamu jemputan.Penganjuran majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian akademik pelajar di samping memperkukuh nilai kebersamaan, jati diri dan pembangunan sahsiah dalam kalangan pelajar.

Majlis ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEPA), Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, nilai kepimpinan serta kesejahteraan emosi agar pelajar dapat berkembang secara holistik dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.




Turut berlangsung dalam majlis ini ialah penyampaian sijil anugerah dekan kepada pelajar daripada setiap semester .Pelajar yang menerima anugerah dekan dari semester 3 Elysian seramai 78 orang , semester 5 Metanoia seramai 47 orang , semester 6 Maverick seramai 13 orang dan semester 7 Voithea seramai 15 orang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik yang cemerlang pada semester lalu. Penyampaian sijil ini menjadi simbol penghargaan atas usaha dan komitmen pelajar dalam mengekalkan prestasi akademik yang konsisten, selain berperanan sebagai dorongan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.




Selain aspek akademik, majlis ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dan kreativiti melalui persembahan daripada setiap semester. Elemen ini bukan sahaja menceriakan suasana majlis, malah mencerminkan kepelbagaian potensi mahasiswa serta kepentingan keseimbangan antara akademik dan pembangunan diri.

Majlis ini juga menjadi medium pengukuhan hubungan antara pelajar dan pensyarah dalam suasana yang harmoni dan bererti. Kehadiran serta sokongan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, empati dan daya kepimpinan yang tinggi.
Nabilah Yamni Rozaki, pengarah program mengharapkan dengan penganjuran majlis ini bukan sekadar platform pengiktirafan, malah menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga pelajar untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian diri serta menyumbang secara positif kepada komuniti universiti. Diharapkan budaya kecemerlangan akademik dan sahsiah yang diterapkan melalui majlis seumpama ini dapat terus diperkasakan dan diwarisi oleh generasi pelajar pada masa hadapan.
