Oleh: Jamilah Mohd Basir
Petaling Jaya, 5 Februari 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik berasaskan penyelidikan dan impak sosial, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melangkah proaktif dengan mengadakan kunjungan hormat ke Merdeka Center, sebuah institusi penyelidikan yang berpengaruh di Malaysia.
Kunjungan ini bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi membawa misi besar dengan menyatukan kepakaran akademik dan data masyarakat demi kesejahteraan kanak-kanak, keluarga dan komuniti.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa; Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi); Dr. Intan Farahana Abdul Rani, Dr Nadia Shahira Amiruddin, Timbalan Pengarah (Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak) dan Ts. Eimiza Faisha Azmi, Pegawai Teknologi Maklumat.
Pertemuan ini membuka ruang perbincangan kolaborasi dalam bidang penyelidikan, perkongsian kepakaran, pembangunan program berimpak tinggi serta penghasilan data berasaskan bukti bagi menyokong dasar dan intervensi sosial.

Perbincangan ini turut dihadiri oleh En. Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Center, En. Fadhil Rahman, Ketua Sekretariat Kasih Madani, dan Puan Anisa Ahmad, Konsultan Program Kasih Madani dan . Gabungan kekuatan penyelidikan perkembangan kanak-kanak oleh NCDRC dan kepakaran analisis sosial Merdeka Center dilihat mampu menghasilkan perspektif lebih menyeluruh terhadap realiti masyarakat Malaysia masa kini.
Langkah ini selari dengan aspirasi UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan serta komitmen universiti dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui ilmu, penyelidikan dan jaringan industri. Kolaborasi strategik seperti ini membuktikan bahawa pendidikan, penyelidikan dan suara masyarakat perlu bergerak seiring bagi membina masa depan generasi yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.
NCDRC terus komited memperluas jaringan kolaborasi demi memastikan setiap usaha penyelidikan diterjemah kepada manfaat nyata untuk masyarakat.
