Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Nur Ain Aleya Natasha binti Roslan
Tanjong Malim, 18 April 2026 – Dalam usaha melahirkan bakal pendidik yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, Program Sukan Antara Batch AT10 Pendidikan Khas Kali ke-4 telah berjaya dianjurkan dengan jayanya oleh EXCO Sukan dan Rekreasi Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK). Program ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 17 April 2026 di Gelanggang Elite Futsal dan Badminton, Tanjong Malim dan diteruskan pada 18 April 2026 di sekitar Arena UPSI Sultan Azlan Shah. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen mahasiswa dalam melaksanakan aktiviti yang berimpak tinggi serta menyokong pembangunan holistik pelajar.

Sukan merupakan satu medium penting dalam membentuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental. Dalam konteks kehidupan mahasiswa, penglibatan dalam aktiviti sukan berperanan sebagai pelengkap kepada pembelajaran di dalam bilik kuliah. Melalui aktiviti ini, pelajar berpeluang mengurangkan tekanan akademik, meningkatkan tahap kecergasan serta mengasah kemahiran insaniah seperti disiplin diri, semangat kesukanan, toleransi dan kerjasama dalam kumpulan.
Program ini dianjurkan khusus untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa Program Pendidikan Khas AT10. Sepanjang penganjuran, pelbagai acara sukan telah dipertandingkan, antaranya bola jaring, futsal, badminton, e-sukan Mobile Legends, musical chair serta tarik tali. Penyertaan yang amat memberangsangkan daripada para pelajar telah berjaya mewujudkan suasana yang meriah, aktif dan kompetitif secara sihat. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji keupayaan fizikal, malah turut merangsang daya saing dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Selain itu, penglibatan dalam program sukan ini turut memberi impak positif dari aspek psikologi dan sosial. Aktiviti berkumpulan membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar. Interaksi yang berlaku sepanjang program juga memperkukuh hubungan antara rakan sebaya, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih harmoni dan inklusif. Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi platform kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan melalui penglibatan sebagai ahli jawatankuasa program.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan bagi menghargai usaha dan pencapaian para peserta. Keputusan keseluruhan menunjukkan tempat keempat dan ketiga dimenangi secara seri oleh Semester 4 (Suaka Biru) dan Semester 2 (EdVocate). Sementara itu, naib johan dimenangi oleh Semester 7 (Invictus), manakala juara keseluruhan disandang oleh Semester 6 (Elysian). Kejayaan ini mencerminkan semangat kesukanan dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua pasukan sepanjang pertandingan berlangsung.
Program ini telah dilaksanakan dengan bimbingan Penasihat PM2PK, Dr. Vestly Kong Liang Soon serta diterajui oleh Yang Dipertua PM2PK, Syarfa Aliah Binti Syaiful Azhar. Turut memainkan peranan penting ialah Pengarah Program, Nur Ain Aleya Natasha Binti Roslan dan Timbalan Pengarah, Amira Husna Binti Ahmad Husni bersama barisan jawatankuasa yang berdedikasi.

Secara keseluruhannya, Program Sukan Antara Batch AT10 Pendidikan Khas Kali ke-4 telah mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan impak positif kepada semua peserta. Program ini bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah berjaya memupuk nilai-nilai murni serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahbaikan berterusan agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada seluruh warga universiti.
