OIeh: Aiman Hariz Abu Hanipah

TANJONG MALIM, 16 Ogos 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah Istiadat Pentauliahan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh istiadat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.

Istiadat tersebut menghimpunkan pegawai kadet Kor SISPA daripada institusi pendidikan tinggi seluruh negara dan menjadi kemuncak kepada proses latihan serta pembentukan sahsiah, kepimpinan disiplin dan kesiapsiagaan mahasiswa dalam bidang pertahanan awam.

Seramai 1,107 Pegawai Kadet daripada 35 institusi pengajian tinggi (IPT) telah ditauliahkan pada istiadat kali ini dengan pangkat Leftenan Muda (Lt. M.) dan Staf Muda (SM). Pentauliahan tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting bagi para pegawai kadet selepas melalui proses latihan dan pembangunan kompetensi dalam Kor SISPA.

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir ialah Mohammad Abiddin bin Abd Rahman, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), barisan pegawai kanan APM serta wakil institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Penganjuran istiadat berprestij itu di UPSI turut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan mahasiswa secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek kecemerlangan akademik, malah dalam membentuk nilai kepimpinan, disiplin, ketahanan diri, kemahiran pengurusan kecemasan serta kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Menurut Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, para pegawai kadet yang ditauliahkan diharapkan dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan serta mendukung semangat pertahanan awam dalam apa jua bidang yang diceburi.

Istiadat ini menyaksikan penyampaian Anugerah Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana kepada Leftenan Muda (PA) Ahmad Muhammad Jasmi dari UPSI sebagai salah satu pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam KOR SISPA. Dalam pada itu, majlis turut mengenang jasa dua Pegawai Kadet KOR SISPA dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Allahyarham Leftenan Muda (PA) Iqbal Hansun Halimi dan Allahyarham Leftenan Muda (PA) Aiman Hakimi Rosli, menerusi penyampaian anugerah secara anumerta kepada waris masing-masing.

Dalam satu perkembangan penting pada majlis tersebut, kerajaan turut mengumumkan bahawa pembayaran elaun kepada pegawai kadet Kor SISPA akan dilaksanakan secara berfasa. Fasa pertama akan memberi tumpuan kepada 1,107 pegawai kadet yang ditauliahkan pada istiadat berkenaan, dengan implikasi kewangan bagi pelaksanaannya dianggarkan berjumlah RM500,000.

Menurut Datuk Rubiah Wang, pemberian elaun tersebut merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen dan khidmat mahasiswa yang menyertai Kor SISPA. Inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota Kor SISPA serta menghargai sumbangan mereka dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan awam dan khidmat kesukarelawanan negara.

Kejayaan UPSI menjadi tuan rumah Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 diharap dapat terus memperkukuh usaha pembangunan pendidikan pertahanan awam di institusi pendidikan tinggi. Penganjuran ini juga menjadi platform penting dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada keselamatan, kesejahteraan serta kesiapsiagaan masyarakat dan negara.