Oleh: Mazlini Adnan, Ahmad Fauzan, Yulyanti Harisman, Minora Longgom, Pipin Sumarni, Aqilul Asra, Hafizatunnisa, Norlia Musaid

TROLAK, 21 Ogos 2026 — Kolaborasi akademik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia, dan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia, terus memperkukuh usaha memperkasa inovasi pendidikan, khususnya dalam bidang pendidikan Matematik. Melalui kolaborasi ini, guru-guru Sains dan Matematik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Trolak diperkenalkan dengan penggunaan teknologi seperti Gimkit dan Construct sebagai media pembelajaran yang interaktif, kreatif dan menyeronokkan.

Kolaborasi tersebut melibatkan Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, Pensyarah Kanan dalam bidang Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI, bersama pensyarah dari Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), UNP, iaitu Prof. Dr. Ahmad Fauzan, Dr. Yulyanti Harisman dan Dra. Minora Longgom. Program ini turut melibatkan Pipin Sumarni, pelajar Doktor Falsafah (PhD) UPSI, dan Aqilul Asra, pelajar sarjana UNP, yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang program berlangsung.

Berlangsung selama dua hari, iaitu pada 20 hingga 21 Ogos 2026, program ini memberi pendedahan kepada guru tentang pemanfaatan teknologi sebagai salah satu pendekatan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui Gimkit, guru diperkenalkan dengan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang dapat mewujudkan suasana pembelajaran lebih aktif dan menyeronokkan.

Selain itu, guru turut berpeluang meneroka Construct, sebuah platform yang membolehkan mereka membangunkan permainan pendidikan sendiri. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada guru dalam menghasilkan media pembelajaran digital, malah membuka ruang kepada mereka untuk mereka bentuk aktiviti pembelajaran yang lebih kreatif, interaktif dan bersesuaian dengan keperluan murid.

Program ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada guru dalam memperkaya strategi pengajaran serta meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan teknologi secara bermakna dalam bilik darjah. Pendedahan sedemikian juga berpotensi diperluas melalui pelaksanaan aktiviti dan kolaborasi susulan pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh hubungan akademik dan pertukaran kepakaran antara Malaysia dan Indonesia.

Peningkatan keupayaan guru dan murid dalam memanfaatkan teknologi digital diyakini dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menarik, bermakna dan relevan dengan keperluan generasi masa kini serta masa hadapan. Pendekatan berasaskan permainan, khususnya, berpotensi menjadikan pembelajaran Matematik lebih aktif, mencabar dan menyeronokkan.

Melalui program ini, kolaborasi UPSI dan UNP bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran, malah berperanan sebagai jambatan pertukaran pengalaman pendidikan antara Malaysia dan Indonesia. Inovasi melalui permainan digital diharapkan dapat menjadi salah satu langkah nyata dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif, interaktif dan menggembirakan kepada guru serta murid.

Program ini turut membuktikan bahawa kolaborasi rentas negara dalam bidang pendidikan mampu menghasilkan gagasan dan inovasi baharu yang memberikan impak secara langsung kepada amalan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Perkongsian kepakaran antara institusi pendidikan kedua-dua negara juga dapat menyumbang kepada pembentukan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif terhadap perkembangan teknologi.

Kesimpulannya, peranan teknologi dalam pendidikan semakin penting seiring dengan perubahan karakteristik dan keperluan generasi murid masa kini. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, Matematik dapat diketengahkan bukan sebagai mata pelajaran yang membosankan, tetapi sebagai suatu pengalaman pembelajaran yang interaktif, mencabar, kreatif dan menyeronokkan.