KUNDASANG, SABAH, 29 September 2026 – Seramai 10 orang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mencipta kenangan manis apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam ekspedisi pendakian yang berlangsung pada 28 hingga 29 September 2026.

Lebih membanggakan, enam daripada 10 pendaki tersebut merupakan kakitangan Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), manakala selebihnya terdiri daripada kakitangan Pusat ICT serta Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi.Pencapaian ini bukan hadir dengan mudah.

Hampir setahun, bermula Oktober 2025, para peserta menjalani latihan dan persediaan secara konsisten bagi membina kekuatan fizikal serta mental sebelum berdepan dengan cabaran sebenar di Gunung Kinabalu.

Menurut Pn.Firdausiah bt Ahamad, yang merupakan salah seorang pendaki, kejayaan ekspedisi ini bukan semata-mata tentang siapa yang sampai dahulu atau berjaya menjejakkan kaki ke puncak, tetapi tentang bagaimana kesemua 10 ahli pasukan berjaya sampai bersama-sama.

Katanya, semangat setiakawan dan sikap saling membantu menjadi kekuatan sepanjang perjalanan. Setiap ahli sentiasa memberi semangat, mengambil berat antara satu sama lain dan memastikan tiada rakan yang ditinggalkan.

Dalam keadaan tertentu, apabila langkah mula terasa berat dan tenaga semakin berkurangan, sokongan daripada rakan-rakan menjadi pencetus semangat untuk terus melangkah.

Sepanjang perjalanan, para peserta berdepan dengan suhu sejuk, hujan serta laluan trek yang licin dan mencabar. Namun, semua itu tidak menjadi alasan untuk berhenti.

Sedikit demi sedikit, langkah diteruskan sehingga akhirnya impian untuk berdiri di puncak Gunung Kinabalu berjaya direalisasikan. Pengalaman tersebut membuktikan bahawa kekuatan sebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada kemampuan individu, tetapi lahir daripada kepercayaan, kerjasama dan kesediaan untuk saling menguatkan ketika berdepan kesukaran.

Ketua Pustakawan UPSI, Pn. Noriha Muhammad, turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas pencapaian tersebut. Beliau menyifatkan pengalaman menawan Gunung Kinabalu sebagai satu pencapaian yang membanggakan serta sarat dengan nilai keberanian, ketabahan dan semangat kebersamaan.

“Semoga keberanian, usaha, ketabahan dan semangat berpasukan yang teruji sepanjang pendakian Gunung Kinabalu terus menjadi kekuatan dalam menempuh setiap cabaran kehidupan. Jadikan pengalaman ini sebagai kenangan yang bermakna dan inspirasi untuk terus melangkah, mencabar diri serta berani menggapai impian yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua 10 pendaki UPSI, khususnya enam warga PTB, atas kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu. Bagi kesemua pendaki, perjalanan ini pastinya meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Setiap titisan peluh, langkah yang berat, kesejukan, hujan dan saat-saat saling memberi semangat akhirnya terbalas apabila kesemua mereka berjaya berdiri di puncak yang diimpikan.