Penglibatan Kor Sispa di Majlis PeluncuranPenglibatan Kor Sispa di Majlis Peluncuran

oleh Muhammad Aqil Aryan Wong

IPOH, 11 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang berdaya tahan dan responsif terhadap pengurusan bencana negara menerusi penyertaan 40 orang wakil warga kerja dan mahasiswa termasuk RESQ Tean UPSI dan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) UPSI dalam Program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) sempena Majlis Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026.

Program peringkat kebangsaan anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2026 di Ipoh Convention Centre (ICC) ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Penglibatan mahasiswa dalam program ini bertujuan mendidik serta melatih komuniti kampus mengenai amalan kesiapsiagaan terbaik.

Di majlis tersebut, mahasiswa berpeluang mengikuti sesi latihan dan kesedaran pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti, persembahan demonstrasi kesiapsiagaan bencana oleh agensi keselamatan seperti NADMA, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan melawat reruai pameran agensi berkaitan pengurusan risiko dan penyelamatan bencana.

Penerangan Fenomena Tanah Runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
Reruai Pameran Kenderaan Bagi Kegunaan Bencana
Reruai Simulasi Penyelamatan Sewaktu Bencana oleh NADMA

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, menyatakan bahawa penglibatan aktif warga universiti menerusi agenda UPSI Prihatin bukti komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa holistik yang seimbang dari segi intelektual, kepimpinan, dan sahsiah prihatin. Di bawah seliaan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), ResQ Team UPSI bertindak sebagai badan penyelamat dan kesukarelawanan universiti yang sentiasa bersiap siaga menghulurkan bantuan kemanusiaan serta penyelamatan.

Langkah menyertai program kesiapsiagaan NADMA serta misi lapangan ini diharap dapat memperkukuh daya tahan komuniti dan mempercepat proses pemulihan kawasan terjejas di seluruh negara.