Oleh: Adzra Najwa Mat Asri
TANJONG MALIM, 8 OKTOBER 2026 – Program BIROS’26: Normalisasi yang Membinasakan: Sinari Sanubari, Hiasi Peribadi telah diketuai oleh Nurin Athirah binti Mohd Rosdi selaku pengarah program dan berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang normalisasi tingkah laku negatif yang boleh menjejaskan akhlak dan jati diri.
Program ini turut dihadiri oleh jemputan istimewa, iaitu Dr. Mohd. Hazreen Shah bin Hassan, Penasihat Persatuan Bahasa Melayu, dan Ustaz Mohd. Ali bin Abdul Malek, Penasihat Kelab Masjid Al-Mursyidin.
Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama daripada Kelab Masjid Al-Mursyidin (AMC), Persatuan Bahasa Arab (PBA), Persatuan Bahasa Inggeris (ELS), Persatuan Persuratan Melayu (PPM), Persatuan Komunikasi Sosial (PERKOM), Perkumpulan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini telah menghimpunkan seramai 2592 orang peserta dari UPSI manakala 312 orang peserta dari USM yang menghadiri secara dalam talian bagi menyemai nilai kerohanian serta memperkukuh pembentukan sahsiah mahasiswa.
Pelaksanaan BIROS’26 memberikan impak yang signifikan dalam membimbing mahasiswa/i untuk menilai semula perkara yang sering dinormalisasikan dalam kehidupan. Pengisian kerohanian yang disampaikan oleh Ustaz Jafri Mahmoodi memberikan pendedahan kepada mahasiswa/i tentang kepentingan melakukan muhasabah diri serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dalam membentuk peribadi yang lebih baik.
Melalui pengisian tersebut, mahasiswa/i didorong agar tidak menerima sesuatu perkara semata-mata kerana perkara tersebut telah menjadi kebiasaan, sebaliknya menilainya berdasarkan nilai agama, akhlak dan kesan terhadap diri serta masyarakat. Kesedaran ini secara tidak langsung membentuk sikap yang lebih berhati-hati dalam membuat pertimbangan dan menentukan tindakan.


Sesi penyampaian ceramah oleh Ustaz Jafri Mahmoodi dalam program BIROS’26 di Masjid Al-Mursyidin, UPSI.

Mahasiswa/i tekun memberikan perhatian terhadap perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Jafri Mahmoodi.
Antara impak utama program ialah peningkatan kesedaran mahasiswa/i terhadap bahaya normalisasi tingkah laku yang boleh membawa kepada kemerosotan akhlak dan nilai kerohanian.
Pengisian yang dibawakan oleh Ustaz Jafri Mahmoodi membuka ruang kepada mahasiswa/i untuk memahami bahawa sesuatu perbuatan tidak semestinya wajar hanya kerana dilakukan oleh ramai orang atau telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Pada masa yang sama, program ini membentuk pemikiran yang lebih kritis dan rasional dengan menggalakkan mahasiswa/i menilai sesuatu tindakan berdasarkan pertimbangan agama, moral dan kesannya terhadap kehidupan. Pendekatan ini penting bagi melahirkan mahasiswa/i yang tidak mudah terikut-ikut dengan arus semasa, sebaliknya berpegang teguh pada prinsip dan nilai yang benar.
Selain itu, BIROS’26 turut menyumbang kepada pengukuhan jati diri dan pembentukan akhlak mahasiswa/i. Penerapan nilai kerohanian dapat menjadi benteng dalaman dalam menghadapi pelbagai pengaruh yang berpotensi menggugat pegangan diri.
Kesedaran terhadap konsep ihsan, iaitu melakukan sesuatu dengan penuh kesedaran bahawa setiap perbuatan diketahui oleh Allah SWT, dapat mendorong mahasiswa/i untuk lebih berintegriti dalam kehidupan seharian. Nilai seperti amanah, disiplin, kesopanan dan tanggungjawab juga dapat diperkukuh agar mahasiswa/i bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki keperibadian yang baik serta mampu menjaga maruah diri dan institusi.
Program ini juga turut memupuk kesedaran tentang tanggungjawab mahasiswa/i terhadap kesejahteraan masyarakat. Mahasiswa/i didorong untuk tidak bersikap pasif terhadap perlakuan negatif yang semakin dinormalisasikan, sebaliknya berani menolak perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan akhlak. Semangat amar makruf nahi mungkar dapat diterapkan melalui usaha saling mengingatkan dan mengajak kepada kebaikan secara berhikmah.
Dalam konteks ini, jalinan kolaborasi yang terjalin antara pelbagai persatuan dan institusi turut memperkukuh usaha menyampaikan mesej kerohanian serta pembentukan sahsiah secara lebih menyeluruh. Kesepaduan ini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran kampus yang lebih positif, beretika dan saling menghormati.
Kesimpulannya, BIROS’26: Normalisasi yang Membinasakan: Sinari Sanubari, Hiasi Peribadi bukan sekadar sebuah program berbentuk kesedaran, malah menjadi platform untuk menyemai nilai kerohanian dan memperkukuh pembentukan sahsiah mahasiswa/i.
Perkongsian ilmu daripada Ustaz Jafri Mahmoodi serta jalinan kolaborasi yang terjalin memberikan nilai tambah dalam usaha membimbing mahasiswa/i agar lebih peka terhadap perkara yang boleh menjejaskan akhlak dan pegangan diri.
Sesungguhnya, kecemerlangan mahasiswa/i tidak hanya terletak pada pencapaian akademik, tetapi turut terpancar melalui kekuatan iman, keluhuran akhlak dan keupayaan memberikan manfaat kepada masyarakat. Semoga BIROS’26 terus menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa/i yang berilmu, berintegriti, berakhlak mulia dan teguh dalam menghadapi cabaran kehidupan.

