PULAU PANGKOR, 19 Oktober 2026 — Pasukan ResQ Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan Misi Pasca Banjir dan Penyerahan Sumbangan bagi menabur bakti serta menghulurkan bantuan asas kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pangkor hari ini.
Misi kemanusiaan ini diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Azlan bin Nafiah selaku Komandan Misi, melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada gabungan mahasiswa dari PALAPES dan Kor Sispa serta staf universiti.
Bagi memastikan pembersihan premis dan kediaman mangsa berjalan pantas, pasukan ResQ UPSI dilengkapi dengan aset pembersihan berkuasa tinggi, 1unit Bot ResQ (40hp) bagi kelancaran logistik serta pemantauan kawasan perairan, 6unit waterjet dan 4unit water pump serta set perkakas pembersihan.



Menunjukkan teladan kepimpinan peringkat tertinggi, Naib Canselor UPSI yang juga Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Awam, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, turun padang menerajui dan menyelaraskan sendiri pergerakan misi kemanusiaan ini. Beliau menegaskan bahawa sinergi antara universiti awam menuntut tindakan pantas dan bersepadu apabila rakyat ditimpa musibah.
“ResQ Team UPSI adalah manifestasi sebenar jiwa ‘Anak Kandung Suluh Budiman’. Apabila bencana melanda, kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Menerusi penyelarasan bersama kepimpinan universiti awam, kehadiran sukarelawan kita di Pulau Pangkor hari ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi sentiasa berada di garis hadapan, sedia menyumbang tenaga dan kepakaran demi kesejahteraan rakyat,”ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, turut melahirkan rasa bangga atas semangat juang dan keperihatinan tinggi yang ditunjukkan oleh para mahasiswa. “Penglibatan pelajar dalam misi kemanusiaan sebegini adalah medan pembentukan karakter dan sahsiah terbaik. Disiplin yang ditunjukkan oleh kadet PALAPES dan Kor SISPA bukan sahaja mempercepat proses pemulihan fizikal di lokasi, malah menyemai nilai empati dan kepimpinan berimpak tinggi dalam diri mereka,” tambahnya.

