SERI MANJUNG, 25 Oktober 2026 – Bahagian Keselamatan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah melaksanakan penugasan kawalan keselamatan sempena PULARA – Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober 2026 di Dataran Madani, Seri Manjung, Perak.
Penugasan tersebut melibatkan seramai 20 orang anggota Bahagian Keselamatan UPSI, termasuk empat orang pegawai. Pelaksanaan kawalan bermula pada 23 Oktober 2026 bagi memastikan aspek keselamatan di lokasi program berada dalam keadaan terkawal sebelum festival berlangsung.
Sepanjang tempoh penugasan, pegawai dan anggota memberikan tumpuan kepada kawalan keselamatan, pemantauan persekitaran serta pengurusan pergerakan kenderaan bagi membantu memastikan kelancaran program dan keselamatan pengunjung, petugas serta semua pihak yang terlibat.
Majlis pembukaan dan penutupan festival berkenaan telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Penganjuran PULARA 2026 turut menjadi platform untuk mengetengahkan seni puisi dan lagu rakyat ke peringkat antarabangsa, sekali gus menyemarakkan apresiasi terhadap warisan budaya dan kesusasteraan.
Pelaksanaan penugasan keselamatan ini turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung. Kerjasama antara kedua-dua pihak mencerminkan kepentingan penyelarasan dan tindakan bersepadu dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman sepanjang penganjuran festival.



Ketua Bahagian Keselamatan UPSI, ASP / PB Mohd Fairuz Bin Mislan, merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat atas komitmen, disiplin yang ditunjukkan sepanjang penugasan tersebut.
Beliau turut menghargai bantuan dan kerjasama pihak IPD Manjung yang bersama-sama menyokong pelaksanaan kawalan keselamatan sepanjang festival berlangsung.
Menurut beliau, semangat berpasukan dan kerjasama yang erat antara agensi keselamatan merupakan elemen penting dalam memastikan setiap penugasan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Beliau berharap agar komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua pihak dapat diteruskan dalam penugasan akan datang, sekali gus memperkukuh keupayaan Bahagian Keselamatan UPSI dalam melaksanakan tanggungjawab keselamatan yang diamanahkan.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan penugasan sempena PULARA 2026 memperlihatkan komitmen Bahagian Keselamatan UPSI dalam menyokong penganjuran program yang melibatkan masyarakat serta memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan berkaitan demi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kelancaran program sentiasa terpelihara.

