oleh: Nurul Afrina Safiyya Mohd Shahrani
TANJONG MALIM, 22 OKTOBER 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Kembara Aspirasi Bitara: Edisi SMK Alor Janggus pada 22 hingga 23 Oktober 2026 bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, UPSI. Program selama dua hari satu malam ini melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus, Kedah, sebagai usaha memberikan pendedahan awal kepada mereka tentang persekitaran universiti serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Bertemakan “Kembara Ilmu, Membina Cita”, program ini bertujuan memperkenalkan pelbagai kemudahan dan lokasi menarik di UPSI, termasuk perpustakaan, kolej kediaman, dan mercu tanda universiti. Selain itu, program ini turut memberikan gambaran awal tentang kehidupan sebagai mahasiswa serta persekitaran pembelajaran di institusi pengajian tinggi. Pendedahan ini diharapkan dapat meningkatkan motivasi, membina keyakinan diri dan menyemarakkan aspirasi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada hari pertama, para peserta dibawa menelusuri persekitaran Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), bermula dengan lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun. Lawatan ini bertujuan memperkenalkan pelbagai kemudahan serta sumber ilmu yang disediakan oleh pihak universiti. Melalui pengalaman tersebut, para peserta berpeluang mengenali kemudahan akademik dengan lebih dekat, di samping meningkatkan kesediaan mereka untuk meneroka suasana pembelajaran yang berbeza daripada persekitaran sekolah.
Lawatan diteruskan ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI bagi memberikan pendedahan kepada para peserta tentang sejarah dan perkembangan pendidikan negara serta mengenali sumbangan tokoh-tokoh pendidikan. Lawatan ini turut memupuk penghargaan terhadap sejarah pendidikan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu dalam membentuk masa depan yang lebih cemerlang.
Pada sebelah malam, para peserta menyertai beberapa aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), antaranya termasuklah Fakta atau Mitos dan Cabaran RM100. Aktiviti-aktiviti ini dirancang bagi menguji pengetahuan peserta serta memperkukuh pemahaman mereka tentang kemudahan, persekitaran dan kehidupan di kampus. Pendekatan pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan ini turut menggalakkan penglibatan aktif, kerjasama dalam kumpulan serta pembinaan keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Memasuki hari kedua, program diteruskan dengan lawatan ke Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), yang turut dikenali sebagai kampus baharu UPSI. Para peserta berpeluang mengunjungi Kompleks Akademik, UPSI Library Digital, SK Seri Budiman dan Dewan Tuanku Canselor, UPSI. Lawatan ini memberikan gambaran yang lebih luas tentang kemudahan akademik serta suasana pengajaran dan pembelajaran di persekitaran universiti. Para peserta juga diperkenalkan kepada penggunaan teknologi digital dalam pencarian dan akses maklumat ilmiah, selaras dengan perkembangan pendidikan masa kini.
Pada jam 10.00 pagi, majlis penutupan program telah berlangsung dengan ucapan perasmian oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Encik Zulkifli bin Mamat. Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada pengarah program serta ucapan daripada wakil guru SMK Alor Janggus. Sesi diteruskan dengan penandatanganan sijil jalinan kerjasama antara pihak yang terlibat, diikuti sesi fotografi sebagai kenang-kenangan. Majlis ini menandakan berakhirnya program Kembara Aspirasi Bitara: Edisi SMK Alor Janggus yang menggabungkan elemen penerokaan akademik, pembangunan kendiri dan pendedahan kepada kehidupan di universiti.
“Program ini direka khusus untuk memberikan pendedahan yang bermakna kepada para peserta melalui lawatan ke Kampus Lama UPSI seperti Muzium UPSI, Perpustakaan Tuanku Bainun, Taman Arca, dan Rumah Za’ba serta persekitaran Kampus Baru UPSI yang merangkumi Dewan Tuanku Canselor, Kompleks Akademik, dan Perpustakaan Digital. Melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan perkongsian bersama fasilitator, kami berharap para peserta bukan sahaja mendapat pengalaman baharu, malah menyemarakkan lagi semangat untuk menuntut ilmu hingga ke menara gading” kata pengarah program.



Secara keseluruhannya, penganjuran program ini merupakan satu inisiatif bermakna dalam memperluas wawasan pendidikan pelajar SMK Alor Janggus. Melalui gabungan aktiviti interaktif, lawatan pendidikan dan pendedahan kepada persekitaran universiti, para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan serta memahami dengan lebih jelas laluan dan peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Penganjuran program ini turut memperlihatkan peranan mahasiswa sebagai pemangkin pembangunan pendidikan melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan motivasi kepada generasi muda. Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemai minat terhadap pendidikan tinggi, memupuk keyakinan diri dan mendorong para pelajar untuk terus berusaha mencapai cita-cita serta mempersiapkan diri menghadapi alam pengajian tinggi.
