Sumbangan barangan keperluan harian warga B40 kepada wakil komunitiSumbangan barangan keperluan harian warga B40 kepada wakil komuniti

SUNGAI UDANG, 28 Oktober 2026 — Kehangatan kuali dan aroma kuah bakso yang menyerap di sekitar Sungai Udang dan Paya Rumput menjadi simbolik keberhasilan pemindahan ilmu apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) membawakan kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara terus ke tengah masyarakat setempat menerusi Program Outreach @JPT di Melaka.

Inisiatif kemasyarakatan yang berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Oktober 2026 ini bukan sekadar program ramah mesra biasa, sebaliknya menjadi medan latihan kemahiran praktikal bagi membimbing 100 orang penduduk tempatan mempelajari seni pembuatan bakso secara profesional.

Bimbingan santai tetapi bersistem ini bukan sahaja memberi kemahiran baharu kepada peserta komuniti, malah menjadi medan latihan kepimpinan serta mengasah nilai teras mahasiswa UPSI dalam menyampaikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah kepada masyarakat sasaran.

Pelajar FTV turut terlibat dalam sesi pengajaran pembuatan bakso kepada peserta komuniti
 
Peserta komuniti memasak bebola daging
Sesi penyampaian cenderahati kepada para peserta

Selain pengisian kemahiran masakan, UCTC ini turut menekankan elemen keperhatinan sosial terhadap kesejahteraan golongan memerlukan. Menyedari cabaran kos sara hidup semasa, program ini menyalurkan bantuan kebajikan khusus kepada golongan B40 di Sungai Udang dan Paya Rumput. Langkah ini diharap dapat meringankan beban kewangan harian keluarga terbabit di samping memberi suntikan semangat untuk mereka memulakan usaha berasaskan kulinari dari rumah.

Pengarah UCTC, Prof Dr. Mohd Azlan bin Nafiah berkata, “menerusi sinergi antara UCTC, FTV, Pusat Alumni UPSI dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Program Outreach @JPT di Melaka berjaya meletakkan penanda aras baharu bagaimana kepakaran universiti dapat diterjemahkan secara nyata untuk pemerkasaan sosioekonomi masyarakat luar bandar”.