Foto berkumpulan murid tahfiz, pensyarah dan fasilitator bersama hasil projek STEM yang dibangunkan.

Oleh: Dr. Wan Nurul Huda Wan Ab Kadir

HULU LANGAT, SELANGOR – Seramai 18 orang murid Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi telah menyertai Program Pemindahan Ilmu STEM-Mekanikal Tahfiz (STEM-AutoTahfiz) yang menggabungkan pembelajaran projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan aplikasi kemahiran asas automotif. Sesi pembelajaran projek STEM diadakan di Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi, Hulu Langat, sebagai sebahagian daripada inisiatif Knowledge Transfer Programme (KTP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang diketuai oleh Dr. Wan Nurul Huda binti Wan Ab Kadir dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI ini membawa nama rasmi “Program Pemindahan Ilmu STEM-Mekanikal Tahfiz (STEM-AutoTahfiz). Program KTP ini dilaksanakan dalam tempoh 21 September hingga 21 Disember 2026 dengan kerjasama Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi.

Bagi sesi projek STEM di maahad, tiga pensyarah UPSI terlibat, iaitu Dr. Wan Nurul Huda binti Wan Ab Kadir, Dr. Nurulasyikin binti Hassan dan Dr. Nur Izwani binti Mohd Shapri. Pelaksanaan aktiviti turut dibantu oleh lima orang fasilitator UPSI serta Cik Ismahani binti Sabri selaku Graduate Intern (GI). Gabungan kepakaran pensyarah dan sokongan fasilitator membolehkan murid mengikuti aktiviti secara berkumpulan, berbincang dan membentangkan hasil pembelajaran.

Pengisian aktiviti menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning, PjBL) dengan berpandukan Modul AUTO-STEM: Integrasi Ilmu Pembelajaran Projek STEM dan Kemahiran Servis Asas Kenderaan. Modul ini menggariskan proses mengenal pasti masalah, menjana idea, mereka bentuk, membina dan menguji prototaip, seterusnya membuat penambahbaikan serta pembentangan. Pendekatan ini turut mengintegrasikan model pembelajaran 5E bagi menghubungkan pengetahuan sains dengan situasi dunia sebenar.

Antara projek yang diperkenalkan dalam modul ialah Kit “Grip and Go”, Model Simulasi Kren Hidraulik dan Kit Cabaran Roda Automotif. Projek berkenaan memberi ruang untuk meneroka konsep daya, geseran, gerakan, tekanan dan prinsip Pascal melalui aktiviti mereka bentuk serta pengujian model. Foto program memperlihatkan murid mempersembahkan prototaip dan poster penerangan yang menghubungkan konsep saintifik dengan fungsi sistem automotif.

Melalui aktiviti hands-on, murid bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari, malah dilatih mengemukakan idea, membuat justifikasi reka bentuk, berkomunikasi dan bekerjasama. Pengalaman membina dan menerangkan prototaip menjadi saluran untuk memupuk pemikiran kreatif, kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.

Murid tahfiz berbincang dan menunjukkan model projek STEM dalam sesi pembelajaran berkumpulan.
Graduate Intern (GI) UPSI menerangkan konsep tekanan dan prinsip Pascal melalui bahan demonstrasi.
Wakil kumpulan murid tahfiz membentangkan model projek STEM kepada rakan-rakan.

Integrasi pendidikan tahfiz dengan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharap dapat memperluas pendedahan murid terhadap aplikasi sains, teknologi dan kejuruteraan serta potensi laluan pembelajaran dan kerjaya pada masa hadapan. Komponen latihan automotif di Politeknik Sultan Azlan Shah pula melengkapkan usaha pemindahan ilmu melalui pendedahan kepada amalan bengkel dan penyelenggaraan kenderaan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan STEM-AutoTahfiz mencerminkan usaha UPSI memperkukuh jaringan universiti, institusi TVET dan komuniti pendidikan tahfiz. Program ini diharap menjadi pemangkin kepada pengalaman pembelajaran yang lebih kontekstual, inklusif dan bermakna, seiring aspirasi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.