Oleh: Muhammad Najli Abdul Jalil, Noramalina Suyanto & Dr Mohamad Ihsan Muhamad Ismail,
TELUK INTAN, 7 dan 8 November 2026 – Program Bengkel Kepimpinan Persatuan Geografi 2026/2027 X Veltra’s Family Day telah berlangsung dengan jayanya.
Program ini merupakan kolaborasi antara dua sidang Persatuan Geografi iaitu sidang Veltra iaitu sidang 2025/2026 dan Zentra, yang merupakan sidang terkini Persatuan Geografi pada 2026/2027.
Program ini dilaksanakan adalah untuk membina kemahiran kepimpinan dan mengukuhkan hubungan antara ahli aktivis Persatuan Geografi.
Program ini membawa tema yang menggabungkan dua elemen iaitu kepimpinan dan kekeluargaan, kedua elemen ini memberikan penekanan yang berbeza, elemen kepimpinan menekankan sifat memimpin sesuatu organisasi ke arah kecemerlangan dan kejayaan, sedangkan elemen kekeluargaan, menekankan pembinaan hubungan yang erat dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Walaupun membawa mesej yang berbeza tetapi matlamat program ini adalah satu, iaitu melahirkan sebuah persatuan yang bertanggungjawab dan berkeprihatinan. Program ini merupakan anjuran dua sidang Persatuan Geografi, sidang Veltra(2025/2026) dan sidang Zentra(2026/2027).
Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat).
Program ini telah diadakan di Teluk Intan, Perak, di kawasan yang berhampiran jelapang padi. Program ini disertai seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi Persatuan Geografi kedua-dua sidang, beberapa orang daripada barisan Exco dan Rakan Exco sidang Veltra serta beberapa aktivis lain. Program ini telah dihadiri oleh Dr. Mohamad Ihsan bin Muhamad Ismail selaku Penasihat Persatuan Geografi UPSI.
Di dalam program ini, beberapa aktiviti telah dilakukan. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah bengkel kepimpinan yang melibatkan barisan Majlis Tertinggi Persatuan Geografi.
Sesi konsultasi atau perjumpaan antara kluster kedua-dua sidang telah dilaksanakan seperti kluster Yang Di Pertua, kluster Setiausaha, kluster Bendahari dan kluster Ketua Exco.
Bukan itu sahaja, sesi perjumpaan yang melibatkan barisan Majlis Tertinggi sidang Zentra dengan Yang Di Pertua Persatuan Geografi sidang Veltra juga dilaksanakan, bertujuan untuk membuka ruang dan peluang kepada barisan pemimpin yang baharu untuk mengutarakan pendapat dan pandangan masing-masing berkaitan hala tuju persatuan.
Seterusnya, selain bengkel kepimpinan, program Veltra’s Family Day turut dilaksanakan. Program ini adalah program dimana semua peserta program beriadah dan bersantai bersama sambil menikmati pemandangan sawah padi.
Aktiviti yang dijalankan seperti senamrobik, dimana aktiviti dilakukan seawal pagi sebelum permainan lain dijalankan.
Selepas senamrobik, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dianggotai seramai enam dan tujuh ahli. Permainan pertama iaitu ‘Dimana Keluarga Ku’, permainan ini memerlukan peserta mencari dan mengenalpasti rakan ahli sekumpulan dengan membuat bunyi haiwan seperti monyet, kucing dan banyak lagi.



Program Bengkel Kepimpinan Persatuan Geografi 2026/2027 X Veltra’s Family Day
Selain itu, permainan ‘Jatuh Cawan’, permainan ini memerlukan peserta menjatuhkan cawan pihak lawan bagi mendapatkan mata point untuk memenangi keseluruhan permainan ini. Permainan ketiga iaitu ‘Cedok Air Bersama’, permainan ini melibatkan beberapa ahli dalam kumpulan sahaja, permainan ini memerlukan peserta mencedok air secara berpeluk sesama sendiri lalu diletakkan di dalam bekas yang telah disediakan.
Permainan seterusnya iaitu ‘Memindah Bola’, permainan ini adalah memindahkan bola ke ahli kumupulan lain dengan menggunakan cawan yang diikat di atas kepala dan permainan terakhir iaitu ‘Asah Pengetahuan’, permainan ini melibatkan peserta untuk meneka jawapan bagi soalan-soalan yang diberikan oleh AJK aktiviti program, sekiranya peserta menjawab salah atau tidak menjawab, hukuman akan dikenakan dengan menekup muka ke permukaan bantal yang berisi tepung.
Kesimpulannya, program ini mejadi wadah untuk membina kemahiran kepimpinan kepada aktivis serta wadah mengeratkan hubungan antara aktivis. Pihak penganjur berharap program ini mampu membentuk organisasi persatuan yang bertanggungjawab dan berwawasan serta mengukuhkan hubungan sesama aktivis Persatuan Geografi yang berteraskan nilai murni dan aspek positif yang boleh melahirkan keluaraga Persatuan Geografi yang berwawasan dan penuh dengan sifat penyayang.
