Oleh: Prof. Madya Dr. Saripah Salbiah Syed Abdul Azziz
IPOH – Dalam usaha memperkukuh keusahawanan berasaskan komuniti serta memaksimumkan potensi penternakan lebah kelulut, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh, Perak telah menganjurkan Kursus Kelulut Fasa 3: Produk Hiliran. Program pemindahan ilmu yang diterajui oleh Dr. Mohd Syariefudin bin Abdullah selaku Ketua Projek ini bertujuan melahirkan warga ATU yang berkemahiran tinggi dalam menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan hasil kelulut yang bernilai komersial.
Pelaksanaan Fasa 3 ini berlangsung pada 28 hingga 29 September 2026 di Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh dan diteruskan pada 30 September 2026 di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya. Bengkel ini memberi tumpuan khusus kepada latihan amali serta pemindahan teknologi penghasilan produk hiliran yang menyasarkan seramai 20 orang staf ATU. Para peserta dibekalkan dengan kepakaran memproses madu, propolis, dan roti lebah (beebread) kepada barangan penjagaan diri serta produk makanan bernilai tambah.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan pengurusan penternakan kelulut di kem, malah membuka peluang penjanaan pendapatan sampingan dan menyokong kelestarian persekitaran kem, terutamanya bagi ahli Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) ATU.
Para peserta disajikan dengan siri bengkel amali secara intensif yang dikendalikan oleh barisan penceramah dan pakar akademik daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI iaitu Prof. Madya Dr. Saripah Salbiah Syed Abdul Azziz, Dr. Abubaker Mustafa Abdelaal Elsayed, serta mantan pensyarah FSM, Dr. Hasimah Alimon.
Antara pengisian utama sepanjang bengkel amali tersebut termasuklah kaedah pengekstrakan & Pembuatan SabunPeserta didedahkan dengan teknik pengekstrakan propolis menggunakan medium yang bersesuaian serta penghasilan sabun pejal madu kelulut menerusi kaedah ringkas melt and pour. Selain itu, peserta diajar menghasilkan asas sabun daripada bahan mentah melalui tindak balas antara lemak tumbuhan/haiwan dan alkali (lye). Kaedah penyediaan larutan alkali Natrium hidroksida (NaOH) diberikan penekanan khas memandangkan proses ini melibatkan suhu dan pH yang tinggi, sekali gus mengutamakan aspek keselamatan.
Selain itu, terdapat juga tentang kaedah pembuatan produk Penjagaan Diri & Kosmetik di mana para peserta mempelajari cara membuat salap atau balm gatal daripada propolis yang telah diekstrak, serta lip balm berasaskan hasil kelulut. Kedua-dua produk ini mengandungi campuran lilin lebah (beeswax), minyak tumbuhan, serta pewangi dan pewarna semula jadi.
Para peserta juga diajar tentang kaedah Krim Awet Muda dan Lulur Badan di mana para peserta berpeluang menghasilkan krim awet muda (anti-aging) dan honey body scrub menggunakan campuran madu kelulut, pelbagai minyak tumbuhan, aroma pewangi semula jadi, Vitamin E, serta bahan kering seperti bunga-bungaan dan beras sangai.
Akhir sekali para peserta juga diajar tentang produk makanan (snek nutrisi) di mana bagi slot pemakanan, para peserta menunjuk bakat menyediakan dua produk snek penuh nutrisi iaitu cheesekut madu kelulut dan bebola kekacang madu kelulut berserta ekstrak propolis. Peserta bukan sahaja teruja dapat membawa pulang hasil tangan sendiri, malah memperoleh pengalaman hands-on yang sangat berharga.
Bagi memastikan kelangsungan kemahiran, barisan penceramah turut berkongsi salinan resipi, menunjuk cara formulasi sabun menggunakan ‘kalkulator sabun’ atas talian, serta memberikan petua dekorasi dan inovasi produk agar tampil menarik di pasaran.


Ketua Projek, Dr. Mohd Syariefudin bin Abdullah menegaskan bahawa penerokaan produk hiliran merupakan kunci utama dalam meningkatkan nilai jualan hasil kelulut. Menurut beliau, pasaran madu mentah kini sudah tepu dengan ramai usahawan, manakala potensi produk hiliran berasaskan madu, propolis, dan roti lebah (beebread) masih luas untuk diteroka. Oleh itu, kursus ini menjadi platform terbaik buat ahli-ahli BAKAT ATU untuk mengembangkan potensi keusahawanan mereka.
Pelaksanaan projek secara berfasa — bermula daripada Fasa 1 (Pemeliharaan Koloni), Fasa 2 (Pemasaran dan Penjenamaan), hingga Fasa 3 (Produk Hiliran) — memberikan pendedahan komprehensif kepada peserta merangkumi aspek formulasi, pembungkusan, dan pelabelan produk. Bengkel ini berjaya mentransformasikan hasil asas kelulut kepada produk bernilai tinggi yang berupaya membina identiti jenama tersendiri. Kerjasama strategik antara UCTC UPSI dan ATU Ipoh ini membuktikan komitmen berterusan pihak universiti dalam memindahkan kepakaran akademia demi kesejahteraan dan kelestarian ekonomi komuniti.

