Pulau Langkawi, 30 Oktober 2026 – Usaha mendekati dan memperkukuh hubungan bersama alumni terus diperkasakan menerusi Program Kembara Santuni Alumni di Pulau Langkawi yang menghimpunkan alumni UPSI dalam satu pertemuan yang berlangsung di Restoran Delta Chenang, Langkawi.
Program anjuran Pusat Alumni UPSI ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara universiti dengan alumni, selain memberi ruang kepada para alumni berkongsi pengalaman, pandangan serta perkembangan masing-masing selepas menamatkan pengajian.
Program Kembara Santuni Alumni ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus menyantuni alumni tanpa mengira lokasi, sekali gus memastikan hubungan yang terjalin terus dipelihara dan diperkukuh.
Dalam aspirasi yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, beliau menekankan kepentingan mengekalkan hubungan berterusan antara universiti dengan alumni. Beliau menyatakan bahawa, alumni merupakan sebahagian daripada kekuatan UPSI dan mempunyai peranan penting dalam menyokong pembangunan universiti melalui pengalaman, kepakaran serta jaringan yang dimiliki.
Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai medium untuk mendengar pandangan alumni, mengenal pasti potensi kerjasama dan menggalakkan penglibatan alumni dalam pelbagai inisiatif dan perkembangan universiti.


Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said, menzahirkan penghargaan atas kesudian para alumni meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan pertemuan tersebut. Beliau turut berharap agar hubungan yang terjalin antara alumni dengan UPSI terus dipelihara serta menjadi asas kepada kerjasama dan sumbangan yang lebih bermakna pada masa hadapan.
Pertemuan ini turut memperlihatkan komitmen Pusat Alumni dalam memastikan hubungan bersama alumni sentiasa diberi perhatian melalui pendekatan yang lebih dekat dan bersifat berterusan.
Penganjuran Kembara Santuni Alumni di Pulau Langkawi ini diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman, selaras dengan hasrat universiti untuk terus menghargai dan memperkukuh jaringan bersama alumni.
