LANGKAWI, 31 Oktober 2026 – Semangat keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar terus dizahirkan menerusi Program Eduforest Mahasiswa: Penanaman Kayu Bakau bersama Alumni Ibu Kandung Suluh Budiman yang berlangsung di Kilim Geoforest Park, Pulau Langkawi.
Program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial yang memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok bakau. Pelaksanaan program ini turut mencerminkan komitmen alumni UPSI dalam menyumbang kepada kelestarian ekosistem semula jadi, khususnya kawasan hutan paya bakau yang mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar.
Selain menjadi platform untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam, program ini turut memperlihatkan semangat kebersamaan dan kesukarelawanan dalam kalangan alumni. Penglibatan ini membuktikan bahawa ukhuwah bersama universiti bukan sekadar terjalin sepanjang tempoh pengajian, malah terus diterjemahkan melalui sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat serta alam sekitar.
Dalam aspirasi yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, beliau menekankan bahawa alumni mempunyai peranan penting dalam menyokong usaha universiti membudayakan tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. Beliau berharap agar penglibatan alumni dalam aktiviti seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu bentuk sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan generasi akan datang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada alumni yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program tersebut. Beliau turut menzahirkan harapan agar semangat kebersamaan dan keprihatinan yang ditunjukkan dapat terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar.
Penganjuran program ini mencerminkan bahawa semangat Anak Kandung Suluh Budiman tidak terhenti selepas menamatkan pengajian, malah terus hidup melalui pelbagai bentuk sumbangan dan bakti. Usaha penanaman pokok bakau ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada kelestarian ekosistem, sekali gus menyemarakkan budaya berbakti dalam kalangan alumni UPSI.
