oleh Cik Nur Izzah Alia Hamzah dan Dr. Nor Hafizah Md Hussin
LUMUT, PERAK, 11–13 November 2026 – Komitmen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memartabatkan pendidikan negara terus dizahirkan menerusi pelaksanaan Program Tuisyen EduSTEM yang berlangsung selama tiga hari, dengan membawa sokongan pembelajaran Sains dan Matematik secara langsung kepada komuniti sekolah di sekitar Lumut, Perak.
Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Pusat Tuisyen Eminent Minds dan STEM Nurturing Centre, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI. Pelaksanaan program ini melibatkan lima buah sekolah di sekitar Lumut, Perak, iaitu SMK Ahmad Boestamam, SMK Seri Samudera, SMK Pangkalan TLDM, SABK Maahad Islahiah Addiniah dan SK Pangkalan TLDM serta mahasiswa UPSI berperanan sebagai tenaga pengajar dan fasilitator.
Inisiatif ini turut mencerminkan aspirasi JIWA UPSI yang digariskan oleh Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, menerusi Amanat Aspirasi BITARA 3.0 @ JIWA UPSI. Penekanan terhadap pembentukan warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berperanan sebagai ejen perubahan masyarakat, selari dengan nilai Jiwa Pendidik dan Jiwa Keinsanan yang diterapkan melalui penglibatan mahasiswa dalam program ini. Bagi menjayakan program ini, seramai 52mahasiswa UPSI telah terlibat sebagai tenaga pengajar dengan bimbingan sepuluh orang kakitangan FSM. Sesi pembelajaran memberi tumpuan kepada murid Tingkatan 4 di sekolah menengah serta murid Tahun 4 dan 5 di sekolah rendah, melalui pengajaran secara bersemuka dan berkumpulan.
Bagi sekolah menengah, sesi pengajaran berpandukan Modul BITARA SPM Sains dan Matematik terbitan FSM. Modul yang dibangunkan melalui kerjasama pensyarah dan alumni FSM ini menjadi rujukan utama tenaga pengajar dalam merancang pengajaran. Selain membimbing murid berdasarkan kandungan modul, tenaga pengajar turut berbincang dan menyesuaikan aktiviti pembelajaran mengikut kesesuaian tahap murid. Sementara itu, pendekatan berasaskan permainan turut digunakan di sekolah rendah bagi menarik minat dan menggalakkan penglibatan aktif murid.

Pembelajaran turut diperkukuh melalui aktiviti amali yang memberikan peluang kepada murid meneroka konsep Sains dan Matematik secara lebih interaktif.
Selain memberi manfaat kepada murid, program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam persekitaran pengajaran sebenar, sekali gus mengembangkan kemahiran komunikasi, penyesuaian pedagogi dan tanggungjawab sosial. Penilaian melalui soal selidik sebelum dan selepas sesi turut dilaksanakan bagi meneliti kefahaman serta maklum balas murid terhadap pembelajaran yang diikuti.
Secara keseluruhan, Program Tuisyen EduSTEM by UPSI bukan sahaja menjadi platform sokongan pembelajaran Sains dan Matematik, malah memperlihatkan bagaimana kepakaran, sumber pendidikan dan penglibatan warga UPSI dapat dimanfaatkan bersama komuniti sekolah. Inisiatif ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan universiti dengan institusi pendidikan, selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan warga berjiwa pendidik serta menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara.
