Yang Di-Pertua MPP UPSI Sidang 2026/2027, Khirfitri bin Abdul Halim, menyempurnakan bacaan ikrar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI bagi sidang 2026/2027

OLEH: RASYIDAH MOHAMED FARROOK

TANJONG MALIM, 11 November 2026 – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2026/2027 menyaksikan Khirfitri Abdul Halim dilantik sebagai Yang Dipertua.

Anak kelahiran Semporna, Sabah itu merupakan mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kimia dengan Kepujian yang kini berada di semester lima.

Khirfitri mempunyai pengalaman kepimpinan sebelum ini sebagai mantan Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

Baginya kepimpinan bukan sekadar tentang kedudukan yang disandang, tetapi tentang amanah, kepercayaan dan kesungguhan dalam membawa aspirasi mahasiswa.

Semangat tersebut menjadi antara intipati Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2026/2027 yang berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Majlis pelantikan yang disempurnakan  Naib Canselor, Prof Dato’ Md Amin Md Taff  itu menjadi simbol rasmi penyerahan amanah kepada barisan kepimpinan mahasiswa yang baharu dilantik bagi menerajui perwakilan mahasiswa serta memperkukuh hubungan antara warga kampus dengan pihak pengurusan universiti.

Dalam  ucapan amanatnya, Profesor Dato’ Dr. Md Amin berkata, pelantikan Khirfitri ke jawatan tertinggi kepimpinan mahasiswa UPSI menandakan satu tanggungjawab besar dalam menerajui organisasi perwakilan pelajar serta memastikan kebajikan dan aspirasi mahasiswa terus diberi perhatian.

Beliau menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan dalam membentuk organisasi yang utuh dan berkesan.

Beliau turut mengingati barisan kepimpinan agar mengetepikan perbezaan, saling menghormati serta memberikan sokongan antara satu sama lain dalam pelaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau juga menyatakan hasratnya secara jelas untuk melahirkan generasi pemimpin yang cemerlang agar legasi pemimpin sentiasa dilahirkan walaupun beliau sudah meninggalkan sidang 2026/2027 ini nanti.

Beliau  menegaskan  kekuatan sesebuah organisasi bergantung pada komitmen dan kerjasama setiap ahlinya, bukan hanya tertumpu kepada pemimpin yang menerajui organisasi tersebut.

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menyampaikan ucapan perasmian Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI,
Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
Sesi fotografi, gaya UPSI Bitara
Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI Sidang 2026/2027, Khirfitri bin Abdul Halim, menyampaikan ucapan buat julung kalinya

Majlis diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan  barisan MPP UPSI sidang 2026/2027, diikuti bacaan ikrar kepimpinan yang diketuai oleh Khirfitri.

Turut dilantik Nur Adlina Aimi binti Zamri sebagai Timbalan Yang Dipertua,

Redzmin bin Mohamed sebagai Naib Yang Dipertua I,

Rasyidah binti Mohamed Farrook sebagai Naib Yang Dipertua II,

Siti Hajar binti Azman sebagai Setiausaha Agung,

Tan Yu Ming sebagai Setiausaha Kerja,

Muhammad Shamsul Idraki bin Mohd Shamsuddin sebagai Bendahari Kehormat,

Muhammad Tho’ha bin Mohd Fahmi sebagai Timbalan Setiausaha,

Nur Irhamna Qamariah binti Wira, Muhammad Khairul Syafiq bin Zamri dan Ahmad Hafiey bin Mohd Zin sebagai Exco Kesukarelawanan dan Kemasyarakatan,

Nur Umairah binti Nur Muazam dan Isaac Venceslaus sebagai Exco Sukan dan Rekreasi,

Ahmad Hadi Salleh bin Zakaria dan Khadijah Maisarah binti Mohd Nasir sebagai Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah,

Ryenonetaneel Hendry dan Esther Uring Lua Jose sebagai Exco Kesenian dan Kebudayaan,

Md Raysul Islam Siyam dan Nur Aufaa Afriena binti Azhar sebagai Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa,

Nur Rafhanah binti Usman, Nurul Khaleeda Najla binti Ahmad Jaafar dan Nurul Hannaniey binti Hazeman sebagai Exco Ekonomi dan Keusahawanan,

Shalsabila binti Ali Baba, Ivan Adriel A/L Paul dan Muhammad Helmi bin Abdullah sebagai Exco Media dan Publisiti,

Vesther Alvin Anak Lumba, Siti Aisyah binti Jusman dan Nur Aisyatul Asyiqah binti Mohd Tarmizi sebagai Exco Akademik dan Kerjaya,

Mohamad Raziman bin Mohd Razali, Lenley Gary Ambross, Muhammad Azraie Haiqal bin Mohd Azman dan Puteri Elis binti Mohd Zamri sebagai Exco Kebajikan dan Perumahan.

Prof Md Amin berharap pelantikan ini dapat memperkukuh peranan MPP sebagai penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti, selain menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif yang responsif terhadap keperluan dan kebajikan warga kampus.

“Sesungguhnya, kepimpinan yang bermakna bukan diukur melalui jawatan atau gelaran, tetapi melalui keberanian memikul tanggungjawab dan kesungguhan membawa perubahan,” katanya.

 Katanya,  semoga kepimpinan Khirfitri bersama barisan MPP UPSI sidang 2026/2027 terus menjadi wadah penyatuan, mencorak aspirasi mahasiswa di samping menyumbang kepada kecemerlangan universiti.