19 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembangunan mampan apabila menerima kunjungan delegasi Unit SmartGreen, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) bagi mengadakan lawatan penanda aras berkaitan pengurusan kelestarian kampus.

Lawatan ini menjadi ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam memperkasa pelaksanaan inisiatif kampus hijau yang merangkumi pengurusan tenaga elektrik, penjimatan air, pengurusan sisa pepejal, pemeliharaan landskap serta penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam pengurusan universiti.

Pengerusi SDG UPSI, Puan Noriha Muhammad, berkata usaha membudayakan kelestarian perlu bermula dengan kesedaran dan komitmen seluruh warga universiti, bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur hijau.

“Kelestarian bukan hanya tentang menghijaukan kawasan kampus, tetapi juga bagaimana kita mengurus sumber dengan lebih bijaksana, mengurangkan pembaziran dan menjadikan amalan lestari sebagai sebahagian daripada budaya kerja serta kehidupan seharian.

“Diharapkan perkongsian seperti ini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara institusi pendidikan, sekali gus memperkukuh usaha ke arah pembangunan kampus hijau dan rendah karbon,” katanya.

Sesi perkongsian turut melibatkan Prof. Ts. Dr. No Kalsum Mohd Isa, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan; Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Ketua Pegawai Digital, Pusat ICT; serta Ir. Ts. Shaharuddin Md Lias, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB), bersama kakitangan JPPHB yang berkongsi pengalaman serta inisiatif UPSI dalam aspek pengurusan tenaga, infrastruktur, landskap dan kelestarian kampus.

Antara amalan dan inisiatif yang diketengahkan termasuk pengurusan sisa elektronik (e-waste), penggunaan tenaga solar, penerapan teknologi cekap tenaga, amalan penjimatan air, kempen Jom Kitar Semula@UPSI serta usaha memelihara kawasan hijau di kedua-dua kampus UPSI.

Delegasi turut dibawa melawat ke Pusat Pendidikan Hijau UPSI bagi melihat sendiri pelaksanaan teknologi pertanian lestari yang menggabungkan sistem akuaponik, fertigasi dan penghasilan kompos organik dengan sokongan teknologi Internet of Things (IoT) serta sensor. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami dengan lebih dekat bagaimana teknologi dan pendekatan inovatif dapat dimanfaatkan dalam menyokong kelestarian alam sekitar.

Kunjungan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, malah membuka peluang kepada UPSI dan PSAS untuk meneroka kerjasama yang lebih erat dalam memperkasakan agenda kelestarian. Secara tidak langsung, usaha ini turut mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi rujukan dan rakan strategik dalam memupuk budaya kampus lestari ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.