Oleh: Norsida Hasan & Noorazrinbinti Abdul Rajak

TANJONG MALIM, 18 November 2026 – Perjalanan jauh dari Ba’Kelalan, sebuah kawasan pedalaman di Lawas, Sarawak, ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tidak menghalang tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ba Kelalan daripada menyertai Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST) 2026. Lebih membanggakan, penyertaan mereka membuahkan hasil apabila berjaya meraih Naib Johan bagi kategori sekolah rendah menerusi projek inovasi ErgoGrip Pencil.

Kejayaan tersebut diraih oleh Asher Peru Pengiran, Elton Victor Nicky dan Elvin Sakai Jeffry dengan bimbingan guru mereka, En. Mohammad Fahruddin bin Boman. Penyertaan sekolah dari kawasan pedalaman Sarawak ini turut memperlihatkan bahawa peluang untuk menyerlah dalam bidang STEM terbuka kepada semua murid, tanpa mengira lokasi sekolah.

Projek ErgoGrip Pencil dibangunkan berdasarkan masalah yang sering dihadapi oleh murid ketika belajar menulis, iaitu kesukaran memegang dan mengawal pensel dengan betul. Walaupun kelihatan mudah, genggaman pensel yang tidak tepat boleh menjejaskan keselesaan dan kawalan murid semasa menulis.

Bagi menangani masalah tersebut, kumpulan ini menghasilkan alat bantuan menulis yang dipasang pada tangan seperti gelang (wristband). Reka bentuknya menggabungkan elemen ergonomik, mekanikal dan teknologi dengan menggunakan komponen daripada STEM Kit MR.DI.Y. bagi membantu mengekalkan kedudukan pergelangan tangan dan memudahkan murid mengawal pensel.

Keistimewaan inovasi ini turut terletak pada penggunaan mikropengawal sebagai sistem maklum balas untuk mengesan tekanan pensel yang berlebihan. Apabila murid menekan pensel terlalu kuat, simbol “X” akan dipaparkan pada papan mikropengawal sebagai isyarat kepada pengguna.

Menurut penerangan projek, reka bentuk tersebut turut mengambil kira lima prinsip Dynamic Tripod Grasp, termasuk kedudukan pergelangan tangan yang lurus, sokongan jari tengah, sudut pensel yang sesuai serta penggunaan ibu jari dan jari telunjuk untuk mengawal pensel dengan tekanan yang minimum.

Menariknya, idea projek ini turut mempunyai kaitan secara langsung dengan usaha memperkukuh penguasaan asas 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Inovasi tersebut memberi tumpuan kepada kemahiran menulis dengan menyediakan alat bantuan yang berpotensi menyokong murid yang menghadapi kesukaran mengawal genggaman pensel.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata penyertaan dan sambutan positif yang diterima mencerminkan keperluan untuk menyediakan ruang serta peluang kepada generasi muda bagi mengetengahkan, mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam bidang STEM.

Menurut beliau, pendedahan terhadap pendidikan STEM wajar diberikan sejak usia awal bagi membentuk generasi yang bukan sahaja menguasai pengetahuan sains, tetapi juga berkebolehan memanfaatkan ilmu tersebut dalam mencari penyelesaian kepada cabaran dan permasalahan dalam kehidupan sebenar.

“Seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pesat, khususnya dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan pelbagai teknologi baharu, pendidikan STEM kini menjadi satu keperluan asas dan bukannya lagi sekadar pilihan.

“Matlamat kita bukan hanya untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pemahaman dalam bidang sains, tetapi juga generasi yang mampu mengaplikasikan ilmu tersebut bagi mencetuskan perubahan dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PMOYST 2026 bersempena STEM Discovery on Wheels @ Yayasan MR. D.I.Y. di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, hari ini.

Kejayaan SK Ba Kelalan membawa pulang gelaran Naib Johan membuktikan bahawa murid dari sekolah pedalaman juga mampu menghasilkan projek inovasi yang kreatif dan mempunyai nilai guna dalam kehidupan seharian. Penyertaan mereka turut menambah warna kepada PMOYST 2026 yang menghimpunkan bakat muda daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

PMOYST 2026 dianjurkan oleh Pusat STEM, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Yayasan MR.DI.Y. Program ini menyediakan platform kepada murid untuk meneroka kreativiti, mengaplikasikan pengetahuan STEM dan membangunkan idea inovatif bagi menghasilkan penyelesaian terhadap permasalahan sebenar melalui projek inovasi serta pengalaman pembelajaran secara praktikal.

Mengulas kepentingan program seumpama ini, Dekan FSM, UPSI, Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, pendedahan melalui aktiviti STEM secara praktikal dapat meningkatkan literasi STEM dalam kalangan pelajar, di samping memupuk kreativiti dan keupayaan mereka untuk menghasilkan idea inovatif. Menurut beliau, dalam era perkembangan pesat sains dan teknologi, pelajar bukan sahaja perlu menguasai pengetahuan, malah perlu membangunkan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, bekerja dalam pasukan, berinovasi dan mengaplikasikan kemahiran praktikal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR. D.I.Y., Dr. Zaleha Mohd Mydin berkata kerjasama sulung bersama UPSI menerusi PMOYST 2026 merupakan peluang bermakna untuk memperluas akses pembelajaran STEM secara praktikal kepada golongan pelajar.

Beliau berkata penggunaan lapan jenis kit STEM yang disediakan yayasan itu membolehkan peserta bukan sahaja mempelajari konsep sains dan teknologi, malah membina, menguji, mengubah suai serta meneroka idea menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung.

“Kit STEM ini mungkin menjadi titik permulaan, namun hasil yang dibangunkan peserta membawa makna lebih besar kerana mencerminkan imaginasi, kerjasama, ketekunan dan kesediaan mereka untuk belajar daripada kegagalan,” katanya.

Bagi SK Ba Kelalan, kejayaan di UPSI pastinya menjadi pengalaman bermakna buat ketiga-tiga murid dan guru pembimbing mereka. Dari sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, mereka membawa pulang bukan sahaja pengiktirafan pertandingan, tetapi juga pengalaman mengetengahkan hasil kreativiti dan inovasi di pentas yang lebih luas.

Kejayaan ini selari dengan semangat PMOYST yang mengangkat kreativiti, penerokaan dan inovasi dalam kalangan generasi muda, sekali gus membuktikan bahawa bakat STEM boleh berkembang di mana-mana sahaja apabila diberikan peluang dan bimbingan yang sewajarnya.