UPSI, 2 Ogos 2016 – Universitas PGRI Yogyakarta (PGY) dan UPSI menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak. UPSI yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa dan UPY diwakili oleh Rektor, Prof. Dr. Buchory menandatangani memorandum persefahaman yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama terutamanya dalam bidang akademik. Dalam ucapannya, Prof. Dr. Buchory, berkata UPY berminat untuk bekerjasama bidang pengajian terutama di fakulti yang mempunyai persamaan penawaran program dengan UPSI.
Kedua-dua pihak juga diberi penerangan tentang sejarah dan perkembangan universiti masing-masing. Sebelum itu, deligasi UPY turut dibawa melawat Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional.
Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Yayasan Universitas PGRI, Armansyah Prasakti S.H,M.H., Pendaftar UPSI, En. Mohd Faizi Othman, Timbalan-timbalan Rektor UPY, dan wakil-wakil fakulti UPSI.