UPSI, 6 Ogos – Sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-59, Seramai 35 kakitangan UPSI, wakil penaja serta beberapa pendaki profesional merentasi Banjaran Titiwangsa melalui laluan warisan sejauh kira-kira 170 kilometer meliputi sempadan negeri Perak dan Pahang menerusi program Ekspedisi Merentas Banjaran Titiwangsa Jelajah Mat Kilau Tourism 1MYC 2016.
Program anjuran Kelab Rekreasi Kakitangan (U-STAC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Daerah Tanjong Malim ini diadakan bertujuan mengenang pahlawan Melayu yang berjasa itu.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria dalam ucapannya sewaktu majlis perasmian yang diadakan di Foyer Bangunan Canselori, menganggap idea melaksanakan program itu sebagai sesuatu yang menarik bertujuan memupuk semangat patriotik dengan mengambil semangat pejuang Melayu tersohor Mat Kilau.
Menurut beliau, jelajah laluan warisan itu sememangnya mencabar dan boleh dilalui dengan menggunakan motosikal, berjalan kaki merentas banjaran dan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Pengarah Projek, Dr. Izani Mat Ill berkata, kumpulan peserta yang menyertai program itu adalah merupakan kumpulan pertama dari UPSI yang mencipta sejarah sebagai kumpulan rasmi pertama yang menggunakan laluan UPSI ke Ulu Slim, Pos Tenau, Pos Labu, Pos Sindrop, Felda Tersang, Kampung Ulu Sungai, Lata Lembik, Kem Sangkar, Pos Bersih, Ulu slim dan kembali ke UPSI.
“Menariknya, bas UPSI menjadi bas pertama yang sampai ke Pos Sindrop berikutan laluan jalan ke tempat berkenaan baharu sahaja siap dan menjadi detik pertama penduduk orang asli melihat bas masuk ke kampung mereka,”.
“Dengan wujudnya semangat berkenaan, saya yakin suatu hari nanti peserta akan berpeluang mendaki Cincin Merapi pula yang terletak di Yogyakarta, Indonesia”, katanya.
Sementara itu, Pengarah U-STAC, En. Abd. Ghani Mansor berkata sebelum ini ahlinya mendaki Gunung Irau dan Gunung Liang sebagai aktiviti beriadah dan berjaya mendapat sambutan walaupun menguji ketahanan mental dan fizikal.