Tanjong Malim, 28 September  – Hasil inovasi penyelidik yang diketuai oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya merangkul satu pingat emas dan dua anugerah khas pada pertandingan 5th International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN 2020) yang berlangsung pada 29 Ogos 2020 lalu di Toronto Canada.

Pingat emas itu dimenangi menerusi produk; MYHIP – ASEAN Low Cost Hip Implant. Dua lagi anugerah iaitu Anugerah Khas Antarabangsa dihadiahkan kepada UPSI oleh World Invention Intellectual Property Association (WIIPA), manakala Anugerah Khas Kanada oleh Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS).

Ketua Penyelidik, Ts. Dr. Mohd Yusof bin Baharuddin berkata, Malaysia kini mengorak langkah dalam penghasilan implan ortopedik tempatan yang berkualiti setanding dengan produk antarabangsa namun boleh didapati pada harga yang berpatutan.

“Produk implan yang dihasilkan menerusi kolaborasi bersama penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak 10 tahun lalu menggunakan geran penyelidikan bernilai hampir sejuta ringgit berjaya membuahkan hasil dengan kerangka kerja pembuatan implan ortopedik mengikut ciri unik warga ASEAN,”.

Beliau yang juga pakar biomekanik berkata, terdapat empat fasa teknologi dalam pembangunan fabrikasi implan di Malaysia iaitu menggunakan pemesinan tiga paksi kawalan berangka komputer, teknik penuangan lilin, teknik pengacuan suntikan logam, dan terkini menggunakan teknik pensinteran laser logam langsung.

“Kami melakukan kajian sejajar dengan perkembangan teknologi terkini. Sehubungan itu, pelbagai kajian berteraskan biomekanik seperti analisis gait dan otot fiber, pengecaman corak pergerakan dan pembinaan penderia sedang giat dijalankan di UPSI bagi membuka gapura baru penyelidikan implan di Malaysia,” tambah beliau.

Ditanya mengenai projek terkini, beliau menambah, pihaknya kini sedang giat melakukan penyelidikan berkaitan biomekanik sukan dan rehabilitasi sukan.

“Kami menerima geran penyelidikan hampir seratus ribu dari Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lalu dan kini sedang menyiapkan prototaip penderia pergerakan yang diperkasakan melalui teknologi IoT.

“Insya-Allah apabila prototaip ini siap nanti, semua pihak sama ada di bahagian penyelidikan kemajuan sukan dan rehabilitasi dapat menggunakannya kerana alat ini mesra pengguna dan memberikan analisis yang tepat.”

 

#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education
#Malaysiamembaca #upsithenextlevel #kitajagakita #StayHome 


UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
UPSI NO.1 PENDIDIKAN | UPSI NO.1 IN EDUCATION

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI