PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menghasilkan produk baharu untuk manfaat pendidikan awal kanak-kanak yang dikenali “Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak”.

Kumpulan penyelidik iLEAP yang berjaya membangunkan produk Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak bersama akademia UPSI.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Suriani Abu Bakar berkata, projek berkenaan diketuai Prof Dr. Saedah Siraj dan ia dibangunkan hasil cetusan idea oleh kumpulan kakitangan Pengurusan dan Profesional UPSI yang mengikuti program latihan Integrated Leadership Excellence Acceleration Programme (iLEAP) pada tahun 2019.

“Kajian ini menggabungkan kepakaran daripada kumpulan kakitangan Akademik dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI serta Pusat Pembangunan Penyelidikan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) UPSI termasuk 19 penyelidik.

“Ia dilaksanakan melalui Geran Penyelidikan Universiti (GPU) yang bernilai RM50,000 untuk menjalankan penyelidikan dan seterusnya membangunkan indeks permainan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Saedah berkata, Toy Index berkata ia adalah sebuah projek ‘Blue Ocean Strategy’ UPSI bagi memperkasakan bidang pendidikan awal kanak-kanak dan mengukuhkan lagi jenama UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan.

Melalui indeks berkenaan, UPSI akan menilai sampel permainan dari pemain industri dan membuat pengesahan berkenaan sumbangan serta kesan sesuatu produk permainan kepada perkembangan serta pembelajaran kanak-kanak.

“Kajian menghasilkan Toy Index itu diperlukan oleh Malaysia sebagai penanda aras pengeluaran alat permainan kanak-kanak (toys) yang bermutu.

“Kajian kami ini menghasilkan instrumen indeks untuk menilai kesesuaian alat permainan kanak-kanak berumur 3 hingga 5 tahun serta bertindak sebagai satu alat penanda aras kepada industri pengeluar produk permainan kanak-kanak untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat,”ujarnya.

-Kosmo ONLINE

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)