TANJONG MALIM: Bersimpati dengan mangsa banjir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sukarelawan membabitkan kakitangan dan mahasiswa menerusi ResQ Team membantu mangsa banjir di empat lokasi berasingan.

Selain membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, ResQ Team bergerak ke Bentong, Pahang menyampaikan sumbangan tuala, blanket, baju sejuk, minuman dan wang tunai yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turun padang.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata apabila masyarakat mengalami musibah banjir, UPSI bertindak proaktif menggerakan ResQ Team untuk tampil membantu termasuk semasa pasca banjir.

Misi bantuan di Bentong, katanya, diketuai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril bersama 11 anggotan sukarelawan ResQ Team dengan menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk membawa barang keperluan, dinghi, tong minyak serta life jacket.

BERI SUMBANGAN: Noraini (tiga dari kanan) bersama anggota ResQ Team UPSI menyampaikan sumbangan kepada komuniti yang menjadi mangsa banjir di Kolej Komuniti Bentong, Pahang.

“UPSI menyambut saranan Dr Noraini agar warga kampus membantu mangsa banjir yang terkesan dan memerlukan bantuan sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata KPT memberi tanggungjawab kepada UPSI untuk mengetuai zon utara bersama 4,000 sukarelawanan dari universiti awam dan alumni untuk membantu mangsa banjir.

Universiti berperanan melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademik, namun turut berperanan melahirkan mahasiswa yang memiliki sifat kesukarelawan yang tinggi sebelum tamat pengajian,” katanya.

Beberapa hari lalu UPSI menghantar ResQ Team UPSI yang diketuai berkata ResQ Team diketuai pensyarah kanan, Dr Omar Firdaus Mohd Said membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam seterusnya membantu komuniti di Padang Jawa, Klang.

Hari ini UPSI menghantar 50 lagi kakitangan dan mahasiswa menyertai misi sukarelawan pasca banjir ke Kampung Kuala Slim yang diketuai pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Mohamad Basri Jamal.

MEMBANTU MANGSA… Sukarelawan UPSI bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Sebelum ini, katanya, UPSI menjalankan lebih 40 misi bantuan terhadap mangsa banjir termasuk di Perak, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.

“Harapan saya pasukan sukarelawan UPSI dapat melaksanakan tugasan sukarelawan dengan lancar demi keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat yang ditimpa musibah banjir.

Md Amin berkata UPSI yang memiliki ResQ Team sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat terutamanya yang berdepan ujian banjir.

– Sabah360online