• oleh: Noratiqah Satari, Pegawai Pemulihan Perubatan di Unit Perkhidmatan Terapi, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tanggal 2 April setiap tahun, seluruh dunia menyambut Hari Kesedaran Autisme agar masyarakat cakna mengenai individu yang mengalami autisme. Autism Speak adalah  pertubuhan sains, kesedaran dan nasihat autisme yang memperkenalkan kempen semarak biru dan seluruh dunia menyokong kempen ini.

Sempena kempen ini, masyarakat diseru untuk mengenakan pakaian, tali leher, beg duit, tudung dan sebagainya yang berwarna biru sebagai tanda sokongan kepada kempen ini. Begitu juga dengan bangunan digalakkan disinari dengan lampu berwarna biru.

Autisme adalah kecelaruan neurologikal yang mempengaruhi perkembangan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku. Autisme boleh didiagnosis seawal usia 18 bulan yang disahkan oleh Pakar Perubatan Keluarga di klinik kesihatan atau Pakar Psikiatrik atau Kanak-kanak di hospital. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan seorang daripada 100 orang kanak-kanak adalah autisme.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) umpamanya, mengeluarkan Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0 hingga 6 tahun) yang mengandungi ujian saringan Perkembangan Tingkah Laku Kanak-kanak (Modified checklist for Autism in Toddler, M-CHAT) dalam mengenal pasti tanda-tanda awal autisme.

Ujian ini dilakukan sebanyak dua kali iaitu membabitkan kanak-kanak berusia 18 bulan dan 36 bulan. Kanak-kanak ini akan dirujuk kepada doktor apabila jawapan yang diberikan oleh ibu bapa tidak mengikut skema jawapan. Justeru, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa memantau perkembangan anak dan mengikut temu janji yang ditetapkan oleh Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA).

Jika ada kebimbangan mengenai perkembangan anak, maka ibu bapa perlu merujuk kepada petugas kesihatan agar intervensi awal dapat diberikan seawal yang mungkin dalam membantu meningkatkan keupayaan kanak-kanak tersebut secara maksimum.

Intervensi awal dijalankan oleh ahli terapi yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan kanak-kanak autisme seperti ahli terapi cara kerja atau pertuturan. Ibu bapa yang mempunyai anak autisme perlu diperkasakan dengan pengetahuan berkaitan dengan autisme terutama intervensi agar tidak dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ibu bapa perlu mendapatkan intervensi untuk anak mereka samada di sektor kerajaan atau swasta. Ibu bapa perlu mengetahui dan mempelajari intervensi tersebut daripada ahli terapi untuk diaplikasikan di rumah. Ibu bapa perlu tahu bahawa mereka merupakan terapis terbaik untuk anak mereka.

Bagi menyemarakkan semangat berkempen, bangunan-bangunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diterangi cahaya kilauan biru sebagai simbolik tanda sokongan terhadap kempen sempena Hari Kesedaran Autisme yang bermula pada malam 1 hingga 3 April 2022.  

Malahan, Unit Perkhidmatan Terapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI juga akan menganjurkan webinar berkaitan dengan intervensi untuk individu autisme yang membabitkan panel-panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan khas, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan dietetik.

Antara intervensi yang akan dibincangkan adalah berkaitan dengan video modelling, Picture Exchange Communication Systems (PECS), DIRFloortime dan lain-lain lagi. Masyarakat dijemput untuk bersama-sama menyambut hari kesedaran autisme sebagai tanda sokongan dan prihatin kepada ahli keluarga dan individu yang mengalami autisme.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)