oleh: Sophia Amma anak Endawie Ranyai (UKLK)
Tanjung Malim, 26 Mac 2022 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Felo-Felo Zon C dan Ketua Zon C, Majlis Mahasiswa Luar Kampus sidang 2021/2022 telah menganjurkan Karnival Ramah bersama Mesra Komuniti Taman Universiti yang bertempat di Taman Universiti.
Penasihat program ini, Encik Hanafi bin Junit berkata melalui penganjuran program tersebut, Unit Kediaman Luar Kampus mampu mewujudkan budaya saling menyapa antara felo-felo zon dengan pelajar UKLK Zon C dan memupuk budaya mencintai alam sekitar. Tambahnya lagi, penganjuran program seperti ini akan membantu meringankan sedikit beban Majlis Daerah dalam mengekalkan kebersihan di persekitaran taman perumahan khasnya di lorong belakang rumah. Aktiviti mengumpul sampah ini akan mengurangkan pembiakan nyamuk denggi serta pelbagai habitat haiwan berbahaya yang lain seperti ular, kala jengking dan sebagainya.
Program yang berlansung dari pukul 8.50 pagi hingga 12 tengahari ini telah memberi kesan baik kepada kawasan yang disasarkan iaitu membersihkan setiap lorong belakang rumah. Semua pelajar yang datang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan agar aktiviti gotong royong mampu berjalan dengan lancar dan tidak memakan masa. Pada masa yang sama, semua pelajar zon c yang menyertai program ini, secara tidak langsung, mampu membina hubungan dengan barisan felo dan Majlis Mahasiswa Kolej Luar Kampus (MMKLK) sidang 2021/2022 yang terlibat. Lorong-lorong yang telah disasarkan adalah Lorong U1/2, U2/1, dan U2/2. Manakala, tempat berkumpul bagi semua peserta adalah di perkarangan rumah ketua zon C. Program ini telah mendapat sokongan daripada 22 orang peserta yang terdiri daripada pelajar zon c.


