Oleh: Dr. Nurul Hila Zainuddin

Melaka, 16 Februari 2025 – Satu program bermakna telah berlangsung di Imperial Heritage Hotel, Melaka, iaitu Retreat Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Pada 13 hingga 16 Februari 2025 baru-baru ini.

Retreat yang bertemakan “menjana strategi, mencapai kejayaan” ini menjadi medan penting untuk memupuk kerjasama, merancang hala tuju fakulti dan jabatan, serta mencapai matlamat strategik dalam meningkatkan KPI sekaligus menaikkan nama UPSI untuk tahun 2025.

Program retreat dimulakan dengan sesi bersama Penasihat Undang-Undang UPSI Puan Salwati Mohd Aris, , yang menyampaikan amanat Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkenaan hala tuju UPSI dan BITARA 2.0.

Pn. Salwati beramah mesra bersama peserta

Sesuai dengan objektif program ini, sesi ini memberi fokus kepada pentingnya pengukuhan pengurusan perundangan. Pn Salwati turut menyampaikan pentingnya kesedaran mengenai isu tatatertib pelajar yang berlaku pada tahun lepas.

Bengkel Hala Tuju Fakulti yang melibatkan Jabatan Kimia, Fizik, Biologi, dan Kimia serta pusat di bawah FSM (Pusat Nano, Pusat STEM dan Pusat CeBEC) telah berlangsung pada hari kedua, 14 Februari 2025.

Ucapan aluan oleh Dekan FSM, Prof. Madya. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah

Dekan FSM, Prof. Madya. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah telah membentangkan pencapaian KPI tahun 2024 dan mengucapkan tahniah kerana pencapaian yang meningkat dari tahun 2023.

Antara sorotan pencapaian FSM adalah berjaya memperoleh Sijil SKIM Akreditasi Makmal Malaysia dan dianugerahkan Akreditasi ASIIN bagi program ISMP Biologi dan ISMP Fizik.

Selain itu, FSM juga telah dianugerahkan sebagai Fakulti Sejahtera selama dua tahun berturut-turut sempena Majlis Anugerah Akademia Bitara 2024.

Dekan FSM juga mengingatkan setiap jabatan dan pusat untuk mencapai KPI dalam setiap teras, dengan fokus utama untuk menaikkan nama fakulti dan universiti.

Sesi perbincangan intensif ini bertujuan merancang strategi dan tindakan konkrit untuk meningkatkan prestasi sepanjang tahun 2025.

Seterusnya, telah berlangsung sesi pembentangan setiap jabatan dan pusat berkenaan pelan strategik masing-masing. Setiap strategi telah dilatakan mengikut KPI yang sesuai. Sesi ini berlangsung dengan lancar hasil kerjasama setiap ahli.

Sesi perbincangan Jabatan Biologi

Kemuncak program ini adalah pada sesi malam. Acara malam diwarnai dengan sesi makan malam bertemakan Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Gimik dan persembahan silat oleh staf pentadbiran dan akademik menjadi pembukaan yang menarik dan mendebarkan, diikuti dengan persembahan bertenaga oleh FSM Band.

Pembentangan oleh Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi selaku Ketua Jabatan Matematik

Suasana malam semakin meriah dengan aktiviti cabutan bertuah, photobooth, serta penyampaian anugerah kepada staf yang mendapat undian tertinggi. Senyuman lebar terukir di wajah masing-masing kerana penat lelah terbalas dengan memori manis ini.

Perarakan masuk oleh Dekan dan pengiring semasa Dinner Retreat FSM

Penutup bagi program retreat ini adalah sesi refleksi. Dekan FSM telah mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa dan ahli fakulti atas kerjasama yang diberikan sepanjang retreat.

Dalam sesi ini, Dekan menegaskan pentingnya untuk memurnikan setiap strategi yang telah dibincangkan dan berusaha untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Persembahan silat oleh Ts. Dr. Afiq Radzwan dan En. Bisyr Asfar Ahmad Bakhtiar
Persembahan silat oleh Ts. Dr. Afiq Radzwan dan En. Bisyr Asfar Ahmad Bakhtiar

Fokus yang jitu harus diberikan dalam menggabungkan usaha dan tenaga untuk mencapai visi dan misi universiti.

Tidak ketinggalan, program retreat ini turut mengambil kesempatan dengan memperkenalkan keindahan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Sebahagian staf yang menggayakan busana sempena tema Zaman Kesultanan Melayu Melaka

Pada 20 Februari, seluruh Melaka akan menyambut cuti umum sempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan, dan tempat-tempat pelancongan di Melaka akan dibuka secara percuma memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keunikan sejarah dan budaya negeri ini.

Retreat FSM UPSI 2025 bukan sekadar satu acara akademik, tetapi lebih daripada itu, ia adalah satu langkah penting ke arah pencapaian yang lebih gemilang.

Prof Illyas dari Jabatan Kimia berkongsi refleksi bagi Program Retreat FSM

Kerjasama yang erat antara staf berjaya membuahkan hasil yang memberangsangkan. Diharapkan segala strategi yang dibincangkan akan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen, meletakkan FSM dan UPSI pada kedudukan yang lebih cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.