Oleh: Cik Adibah Yasmin Abdul Razak
Tanjung Malim, 3 Februari 2025 – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat daripada delegasi IIUM Endowment Fund dalam usaha memperkukuhkan hubungan strategik dan memperluas jaringan kerjasama dalam bidang endowmen, wakaf dan zakat.
Kunjungan ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan erat antara IIUM Endowment Fund dan WEZAS UPSI, khususnya dalam aspek pengurusan endowmen.
Selain itu, kedua-dua institusi mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan dana serta memperkukuh inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan. Perbincangan turut tertumpu kepada perkongsian berkaitan perkara teknikal dalam menguruskan endowmen.
Turut dibincangkan adalah berkaitan strategi untuk mendapatkan layanan pelepasan cukai di bawah seksyen 44(11)D (b) Endowmen oleh pihak LHDN selain daripada bertukar pandangan dan strategi dalam memperkasa dana endowmen sebagai instrumen penting dalam memperkasa pendanaan university.

Semoga dengan lawatan ini akan membuka lembaran Kerjasama antara kedua pihak agar keberkesanan pengurusan dana kebajikan serta agihan memanfaat akan terus diperkukuhkan.
Pihak WEZAS UPSI menyambut baik usaha ini dan menzahirkan harapan agar kunjungan ini menjadi titik tolak kepada hubungan lebih erat dan strategik antara kedua-dua institusi.
Selain itu, sesi perbincangan turut memberi penekanan kepada cabaran serta peluang dalam pengurusan wakaf, di samping merangka strategi jangka panjang bagi memastikan keberkesanan dan kelestarian program-program kebajikan yang dilaksanakan.
Melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran ini, diharapkan kedua-dua institusi dapat saling melengkapi dalam membangunkan sistem pengurusan wakaf dan endowmen yang lebih inovatif dan berdaya saing, seterusnya memberikan impak besar kepada masyarakat.
