Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 10 Mac – Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) SITC-MPSI-IPSI-UPSI menganjurkan Majlis Iftar dan Infaq Ramadan 2025 bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan alumni, warga universiti serta masyarakat setempat. di sini, baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri lebih 100 tetamu termasuk bekas pelajar dari pelbagai generasi, pensyarah, dan kakitangan UPSI bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI merupakan anjuran bersama Pusat Alumni UPSI.

Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, yang turut hadir bagi merasmikan majlis tersebut, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan aktif alumni dalam menyokong kebajikan pelajar serta pembangunan universiti.

“Keprihatinan dan semangat memberi yang ditunjukkan oleh alumni melalui program seperti ini amat membanggakan.

“Ia bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh UPSI dalam kalangan warganya.

Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf UPSI sempena Majlis Iftar dan Infaq Ramadan 2025 bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Presiden PASB UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak semasa menyampaikan kata aluan sempena Majlis Iftar dan Infaq Ramadan 2025 bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai alumni untuk memainkan peranan aktif dalam menyumbang melalui infaq, waqaf atau perkongsian pengalaman dalam bidang profesional masing-masing.

“Kejayaan sesebuah institusi pendidikan tidak hanya bergantung kepada pentadbir dan pensyarah, tetapi juga kepada sokongan berterusan daripada alumninya.

Dengan adanya inisiatif sebegini, kita dapat memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga dan UPSI terus unggul sebagai institusi pendidikan yang melahirkan insan berilmu dan berakhlak mulia.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas sokongan padu alumni terhadap program kebajikan yang dianjurkan universiti, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Majlis ini bukan sekadar medan untuk berbuka puasa bersama, malah menjadi platform bagi alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti serta membantu golongan yang memerlukan melalui infaq yang dilaksanakan.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Iftar dan Infaq Ramadan 2025 bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Iftar dan Infaq Ramadan 2025 bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Beliau berkata, peranan alumni dalam menyokong pembangunan UPSI amat penting, bukan sahaja dari segi sumbangan kewangan tetapi juga dalam aspek pengalaman, kepakaran, dan jaringan profesional yang dapat membantu mahasiswa dan graduan UPSI dalam memperkasa masa depan mereka.

“Sokongan alumni bukan hanya memberi manfaat kepada individu yang menerima bantuan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan holistik universiti.

“Kita mahu melihat UPSI terus maju sebagai institusi pendidikan unggul yang bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki jati diri dan kepedulian sosial yang tinggi,.

Majlis turut diserikan dengan sumbangan infaq kepada pelajar asnaf dan golongan memerlukan kepada 50 orang pelajar asnaf UPSI, hasil sumbangan daripada PASB.

Sementara itu, Presiden PASB UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak berkata, pihaknya berbangga dengan semangat kebersamaan yang terus dipupuk dalam kalangan alumni, memastikan hubungan erat antara mereka dan alma mater terus kukuh.

“Alumni merupakan aset berharga kepada universiti dan kami berusaha untuk terus menyokong UPSI dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan pelajar dan program akademik.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril; Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said serta wakil-wakil persatuan alumni yang lain.