Oleh: Marilyn Benedict 

Tanjong Malim,  15 April 2025 – Persatuan Geografi (PERGEO) dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menyertai Program

Zonakids Festival 2.0 yang telah dianjurkan oleh Exco Media, Publisiti dan Informasi Kolej Ungku Omar Sidang Ayris 2024/2025. Program ini bertujuan untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap Sains, Teknologi,  Kejuruteraan dan Matematik melalui pelbagai aktiviti interaktif. Program ini juga merangsangkan kreativiti serta semangat ingin tahu dalam suasana yang menyeronokkan. 

Program ini telah dikendalikan oleh Exco Seminar Dan Pameran (PERGEO) bagi sidang 2024/2025 bagi mewakili Persatuan Geografi. Penyertaan Exco Seminar dan Pameran (PERGEO) dalam program ini membuka ruang untuk memperluas jaringan kerjasama bersama persatuan lain serta memperkaya pengalaman dalam pengurusan acara berteraskan pendidikan.

Selain itu, program ini turut meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam penganjuran program yang berimpak tinggi kepada orang ramai. Program ini dikendalikan oleh 7 orang ahli jawatankuasa terpilih yang komited dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaannya.

Program ini telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi sehingga 2.00 petang bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Majlis dimulakan dengan acara perasmian yang berlangsung di Dewan Panggung Percubaan,UPSI dan dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan, barisan penganjur serta kanak-kanak daripada pelbagai sekolah sekitar kawasan Tanjung Malim, Perak.

Sesi ini berlangsung dalam suasana yang cukup meriah, ceria dan penuh keterujaan. Kehadiran ramai kanak-kanak yang aktif, bersemangat serta bijak mencuba pelbagai aktiviti dan pameran yang disediakan telah menyemarakkan lagi suasana program.

Mereka menunjukkan minat yang mendalam terhadap elemen-elemen STEM yang diketengahkan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bermanfaat dalam mencungkil potensi serta memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak usia muda.

Kami telah menyediakan pelbagai aktiviti yang mengandungi elemen geografi dan direka khas agar sesuai serta menyeronokkan untuk dimainkan oleh kanak-kanak. Antara aktiviti utama ialah Geopoly, iaitu versi permainan Monopoly yang diubah suai dengan tema geografi bagi membantu kanak-kanak mengenali lokasi, sumber dan ciri-ciri geografi sesebuah kawasan dengan cara yang interaktif.

Geography Pop-Up Book pula membolehkan mereka meneroka konsep-konsep geografi melalui buku tiga dimensi yang menarik, berwarna-warni dan mudah difahami.

Selain itu, Cluedo Geography mengasah daya pemikiran kritis kanak-kanak apabila mereka cuba menyelesaikan misteri berdasarkan petunjuk geografi yang diberikan. Aktiviti Puzzle Jelajah Negeri pula menampilkan cabaran menyusun peta negeri-negeri di Malaysia, sambil mempelajari lokasi, ibu negeri serta simbol-simbol yang berkaitan.

Kesemua aktiviti ini bukan sahaja memberi ilmu, malah turut membina keyakinan, kerjasama dan semangat ingin tahu dalam kalangan peserta muda.

Kami juga menyediakan goodies istimewa kepada kanak-kanak yang berani mencuba pelbagai permainan yang disediakan sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan semangat mereka untuk belajar. Pemberian ini secara tidak langsung menjadi galakan kepada mereka untuk terus terlibat secara aktif dalam aktiviti berasaskan pembelajaran.

Program sebegini juga mampu mencetuskan rasa seronok, dihargai dan membina keyakinan diri dalam kalangan peserta muda.

Penglibatan sebegini oleh aktivis PERGEO memberikan peluang kepada mereka untuk memperluas jaringan profesional dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam bidang geografi.

Selain itu, program sebegini memperkukuhkan kemahiran dalam penganjuran program yang melibatkan komuniti dan pelbagai pihak sekaligus memperkaya kepakaran ahli dalam menyampaikan maklumat secara berkesan. Kelebihan ini turut membolehkan aktivis PERGEO menjadi lebih berdaya saing dan relevan dalam dunia pendidikan dan pembangunan masyarakat.