Sesi bergambar bersama delegasi dari UITM cawangan Pahang (Kampus Jengka dan Raub)
Tanjong Malim, 22 April 2025 – Bahagian Keselamatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bahagian Keselamatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub dan Jengka dalam satu sesi lawatan rasmi yang penuh dengan perkongsian ilmu, pengalaman serta membina jaringan kerjasama antara institusi.
Delegasi lawatan tersebut diketuai oleh Tuan Adrusham Che Lah, Ketua Unit Keselamatan UiTM Kampus Jengka, dan Tuan Mohamad Fadilah Abd Halim, Ketua Unit Keselamatan UiTM Kampus Raub, bersama beberapa pegawai kanan dari kedua-dua cawangan. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh jalinan strategik dalam aspek pengurusan keselamatan kampus, selain bertukar-tukar pandangan berkaitan amalan terbaik dan inovasi dalam pengendalian isu keselamatan di institusi pengajian tinggi.
Ketibaan delegasi disambut mesra oleh pihak pengurusan dan pegawai kanan Bahagian Keselamatan UPSI yang diketuai oleh Tuan Mohd Fairuz Mislan. Satu sesi taklimat telah diadakan yang memperincikan struktur organisasi keselamatan di UPSI, fungsi-fungsi utama unit, serta pendekatan bersepadu yang dilaksanakan dalam menguruskan keselamatan pelajar, staf, aset dan fasiliti universiti. Antara perkara yang dibentangkan termasuklah sistem pemantauan CCTV, pengurusan kecemasan, latihan keselamatan berkala, dan kerjasama strategik bersama agensi luar.

Delegasi turut berkongsi cabaran serta inisiatif keselamatan yang dilaksanakan di kampus masing-masing. Perbincangan dua hala ini bukan sahaja membuka ruang pemahaman yang lebih luas tetapi juga memberi inspirasi kepada kedua-dua pihak untuk menambah baik sistem keselamatan sedia ada.

Selesai sesi perbincangan, satu majlis ringkas penyampaian cenderamata diadakan sebagai simbolik penghargaan dan kenangan atas jalinan hubungan yang terjalin. Delegasi kemudiannya dibawa melawat ke beberapa lokasi utama di kampus UPSI termasuk pusat kawalan keselamatan serta Pusat Bowling UPSI, yang merupakan antara kemudahan rekreasi yang menjadi tumpuan warga kampus dan komuniti setempat. Lawatan ini memberi gambaran menyeluruh mengenai pendekatan UPSI dalam mengimbangi aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar melalui kemudahan yang kondusif dan mesra komuniti.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan profesional antara UPSI dan UiTM, malah membuka peluang untuk kolaborasi lanjut pada masa akan datang khususnya dalam aspek latihan keselamatan, pertukaran maklumat serta pembangunan kapasiti pegawai keselamatan.

Bahagian Keselamatan UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UiTM atas kesudian menjadikan UPSI sebagai destinasi lawatan sambil belajar, dan berharap hubungan baik ini akan terus terjalin demi mewujudkan persekitaran kampus yang selamat, harmoni dan berdaya saing.
