oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 18 Jun 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Sukan Rakyat bersempena Program Rabu@Qalbu PTj pada hari ini bertempat di belakang Auditorium UPSI.
Timbalan Pendaftar Kanan, yang mewakili Pengarah PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata PKM memilih pengisian Sukan Rakyat bagi Slot Rabu@Qalbu minggu ketiga bertujuan untuk mengembalikan permainan tradisional yang kian dilupai oleh masyarakat.
Menurut Ahmad, permainan Sukan Rakyat yang terlibat termasuklah Lompat Getah (Zero Point), Batu Seremban, Congkak dan juga Lari Tempurung Kelapa. Acara pecah belon di kaki turut diadakan bagi menyerikan program.



”Saya dapati majoriti kakitangan PKM pandai bermain sukan ini dan mereka menunjukkan minat dan kemahiran yang tinggi. Ini menunjukkan permainan ini masih dekat di hati mereka” kata Ahmad.
Permainan dimulakan dengan acara Lompat Getah dengan terdapat kakitangan PKM yang dapat melompat pada aras kepala.
Acara ini dimenangi oleh Kumpulan Dua diketuai oleh Mohd Rosni Rosli (Ketua), Megat Iskandar Shah Megat Hassan, Muhammad Shahrul Mizan Mohamed Nizam dan Nurmaisara Ahmad.


Pemenang acara Congkak pula disandang oleh Kumpulan Satu yang terdiri daripada Muhammad Izzat Safwan Abd Halim (Ketua), Shahril Sadzib, Sajarutul Nur Kasim dan Alyaa Nur Adibah Ramlan.
Manakala Juara acara Batu Seremban menjadi milik kumpulan Tiga. Ahli-ahli kumpulan Tiga termasuklah Mohd Azlan Dahari (Ketua), Sofiatul Nazira Ahmad Shubki, Rafizah Zainal Kassim dan Ilyah Nazrah Jamaluddin.
Kumpulan Dua yang diketuai oleh Nor Azura Mustafa Bakri bersama ahli kumpulan, Asmah Mohd Amin @ Mohd Mansor, Zuzalina Zulkanain dan Khalid Chew Edey Ridzuan Chew menang acara kemuncak iaitu Lari Tempurung Kelapa.
Terdahulu bagi acara pecah belon berjaya dimenangi oleh Kumpulan Satu. Penentuan pemenang ditentukan melalui banyak belon yang gagal dipecahkan lawan. Naib Juara dimenangi oleh Kumpulan Dua apabila Mohd Azlan Dahari terpaksa akur apabila belon dikakinya dipecahkan oleh Megat Iskandar Shah Megat Hassan dalam pertarungan yang sengit.


Kemuncak Sukan Rakyat ini diakhiri dengan Jamuan Kesyukuran oleh Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) UPSI 2024, Shahril Sadzib dan Rafizah Zainal Kassim.
Rata-rata kakitangan PKM menyatakan rasa gembira dan seronok menjalani aktiviti ini. Mereka bukan sahaja dapat menunjukkan kemahiran masing-masin dalam sukan rakyat tetapi dapat menjalinkan kerjasama yang erat dalam satu keluarga PKM.

